Sunday, August 28, 2011

18 maut letupan bom kereta di bangunan PBB di Nigeria




Polis dan kakitangan penyelamat melihat kesan letupan kuat di bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Abuja, Nigeria, kelmarin. - AFP


ABUJA 27 Ogos - Sekurang-kurangnya 18 maut dalam satu letupan bom kereta di bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu negara Nigeria, Abuja, semalam.
Serangan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang jarang berlaku ke atas institusi antarabangsa di negara yang mempunyai konflik dalaman.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengutuk serangan tersebut dan menyatakan angka korban berkemungkinan akan meningkat.
"Serangan ini merupakan satu tindakan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan," katanya.
Sehubungan itu, Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan mengeluarkan arahan kawalan keselamatan di sekitar ibu negara.
Menurut sumber pasukan keselamatan dan saksi, kereta yang dipasang bom itu merempuh bangunan PBB lalu meletup.
Cebisan mayat mangsa bertaburan di atas tanah ketika pasukan kecemasan, tentera dan polis melakukan pemeriksaan di bangunan tersebut.
"Mangsa telah dibawa ke hospital berbeza bagi mendapatkan rawatan dan setakat ini jumlah kematian dilaporkan seramai 18 orang," kata Komisioner Polis Abuja, Mike Zuokumor.
Kerajaan Norway dalam pada itu berkata, seorang daripada mangsa yang maut, Ingrid Midtgaard, 30, merupakan rakyatnya yang berkhidmat sebagai peguam untuk PBB.
"Kami tidak dapat memberikan sebarang maklumat terkini berhubung insiden tersebut memandangkan para petugas sedang berusaha menyelamatkan mangsa," kata jurucakap Palang Merah. - REUTERS

No comments:

Post a Comment