Sunday, August 28, 2011

Fahaman Syiah turut dikesan di Terengganu

BESUT, 28 Ogos — Gerakan penyebaran fahaman Syiah turut dikesan di Terengganu dengan semua pengerusi masjid negeri itu dilaporkan menerima bahan bacaan berkaitan ajaran itu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Khazan Che Mat berkata semua pengerusi masjid dan pihak berkenaan menerima kiriman berkenaan menerusi khidmat Pos Berdaftar beberapa hari lalu.
Sehubungan itu, Khazan berkata semua yang menerima bahan bacaan berkenaan perlu menyerahkannya kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu supaya fahaman itu tidak tersebar di negeri ini.
Beliau berkata pihak JHEAT telahpun meneliti kandungan beberapa buku yang telah diserahkan kepada mereka untuk mengetahui setakat mana pengaruh yang cuba disebarkan.
“Kita teliti dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya termasuk mengambil tindakan yang perlu,” katanya katanya dipetik Bernama Online.
Khazan berkata kerajaan mengekang penyebaran mazhab lain selain Ahli Sunnah Waljamaah di negara ini untuk mengelak perpecahan di kalangan umat Islam.
Baru-baru ini Jabatan Agama Islam Melaka menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam yang dipercayai markas Syiah di negeri itu.
Dalam serbuan itu, sejumlah 35,000 buah buku dan risalah fahaman itu yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditemui dan siap dibungkus untuk diedarkan melalui pos ke seluruh masjid dan jabatan kerajaan.

No comments:

Post a Comment