Sunday, August 28, 2011

Penuh khemah



MOGADISHU: Setiap tanah lapang di ibu negara Somalia dipenuhi ribuan khemah penduduk kampung (IDPs) yang berhijrah ke bandar bagi mendapatkan bantuan, terutama makanan, dan pemandangan itu dapat dilihat di sepanjang jalan.
Mereka berhijrah ke bandar selepas kampung mereka musnah akibat perang saudara hingga tiada apa yang tinggal, menyebabkan penduduk menderita kebuluran.

Menurut ketua khemah di daerah Hawl Wadaq, Jaafar 42, semua yang menghuni khemah pelarian datang dari luar Mogadishu dan ada yang datang sejauh 200 hingga 600 kilometer.

“Kebanyakan mereka hanya berjalan kaki dari kampung ke ibu negara, ada yang berjalan kaki 15 hari hingga sebulan dan ada juga yang meninggal dunia ketika perjalanan.

“Golongan kanak-kanak yang kurang zat dan nutrasi (khasiat) akibat kebuluran sering menghidapi penyakit. Ada yang tidak dapat bertahan dan ramai yang mati,” katanya ketika ditemui di khemah IDPs Maalin, di sini, semalam.

Jaafar berkata, mereka tiada pilihan lain kecuali datang ke bandar bagi mendapatkan bantuan makanan, air dan perubatan di pusat bantuan yang didirikan pelbagai pertubuhan dunia dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai negara.


“Setiap khemah didirikan sekitar kawasan Mogadishu adalah tidak kurang dari 800 hingga 1,000 orang dan kami bergantung hidup dengan sumbangan pelbagai pihak.

“Penghuni khemah beratur dan menunggu di setiap pusat bantuan disalurkan seperti klinik kesihatan, makanan dan air setiap hari. Kami hanya boleh berharap ada pihak sudi meringankan penderitaan kami dengan menyalurkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Metro Ahad di sekitar ibu negara itu mendapati, keseluruhan kawasannya terjejas teruk akibat perang saudara yang berlanjutan sejak 1990 dan boleh dikatakan hampir semua bangunan, rumah dan sebagainya musnah teruk akibat bedilan bom dan meriam.

Semua bangunan di sini juga dikesan mempunyai kesan tembakan dan tidak boleh dihuni lagi.

Negara yang sebelum ini mempunyai semuanya, termasuk universiti, stadium bola, teater nasional dan banyak lagi, namun semuanya musnah akibat perang saudara berpanjangan berikutan tiada sefahaman antara lebih 2,000 puak di negara Afrika Utara ini.

No comments:

Post a Comment