Wednesday, October 3, 2012

4,500 pesakit diabetes dikesan tahun ini

KUALA TERENGGANU 2 Okt. - Jumlah penghidap penyakit diabetes yang baru dikesan di negeri ini dianggarkan bakal mencecah hampir 4,500 orang sepanjang tahun ini , sekali gus meningkatkan bilangan keseluruhan pesakit itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar menjangkakan pertambahan lebih sekali ganda akan dicatatkan berbanding lima tahun lalu.
''Sehingga kini jumlah penghidap diabetes di Terengganu yang berdaftar ialah 21,431 orang sedangkan jumlah sebenarnya melebihi 68,000 orang.
''Ini kerana dianggarkan hanya satu pertiga mendaftar di klinik dan hospital kerajaan manakala dua pertiga lagi mendapat rawatan di luar atau tidak menyedari menghidap penyakit berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, ia suatu fenomena yang membimbangkan dan pada jangka masa panjang akan banyak menjejaskan kesejahteraan institusi kekeluargaan.
Menurut beliau, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan prevalen penduduk menghidap penyakit diabetes di negara ini mencecah 15.2 peratus.
''Di Terengganu, ia mencapai 11.6 peratus iaitu pada kadar 11 orang bagi setiap 100 penduduk. Ini membawa kepada pertambahan yang sangat besar dan membimbangkan.
Beliau menarik perhatian, sejumlah 45 peratus daripada pesakit turut mendapat komplikasi buah pinggang yang memerlukan rawatan intensif yang menjadi beban besar bagi pesakit dan juga kerajaan.
''Kerajaan terpaksa tanggung kos RM2,600 hingga RM2,800 setiap pesakit sebulan bagi menjalani rawatan termasuk penggunaan mesin hemodialisis," ujarnya.
Katanya, jenis penyakit yang tidak berjangkit ini terus menular kerana masih ramai kalangan rakyat yang mengabaikan aspek penjagaan kesihatan meskipun pelbagai kempen kesedaran terus diadakan.
''Diabetes merupakan penyakit yang boleh dicegah melalui amalan gaya hidup sihat termasuk aspek pemakanan dan aktiviti kecergasan.
''Semua harus berperanan dan di peringkat keluarga, ibu bapa hendaklah menjadi contoh kepada anak-anak dengan mendidik mereka sejak kecil, di samping mewujudkan persekitaran yang menggalakkan pengamalan cara hidup sihat," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20121003/wt_04/4500-pesakit-diabetes-dikesan-tahun-ini#ixzz28FBq7UDC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment