Wednesday, October 3, 2012

Pakistan tawar ganjaran kedua bunuh penerbit Innocence of Muslims

ISLAMABAD - Untuk kali kedua dalam tempoh kurang dua minggu, Pakistan menawarkan ganjaran enam angka kepada sesiapa yang dapat membunuh penerbit filem Innocence of Muslims.

Menurut seorang pemimpin kanan kumpulan agama yang menganjurkan demonstrasi di Peshawar kelmarin, bekas anggota legislatif Pakistan, Ikramullah Shahid menawarkan AS$200,000 (RM600,000) kepada sesiapa yang berjaya membunuh pembikin filem berkenaan.

Menurut laporan CNN, sekurang-kurangnya 15,000 penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam protes aman yang diadakan di Haroon Khan, Peshawar.

Minggu lalu, Menteri Urusan Kereta Api Pakistan, Ghulam Ahmad Bilour menawarkan ganjaran AS$100,000 (RM300,000) kepada sesiapa yang berjaya membunuh pembikin filem terbabit, Nakoula Basseley Nakoula.

Ghulam Ahmad memberitahu CNN, ia adalah tawaran peribadi beliau dan bukannya kerajaan Pakistan.

Ditanya sama ada beliau bimbang menggalakkan jenayah selaku pegawai kerajaan, Ghulam Ahmad berkata, “saya seorang Muslim terdahulu, kemudian baru wakil kerajaan.”

Menurut Ghulam Ahmad, beliau turut dijemput Taliban dan al-Qaeda untuk melaksanakan misi itu.

Menurut jurucakap politiknya, Senator Zahid Khan, tindakan menteri itu juga bukan mewakili Parti Kebangsaan Awami.

“Kami tidak percaya pada keganasan. Bagaimana kita boleh membuat pengumuman itu?” ujar beliau.

"Pihak kami telah berjuang menentang militan dan ekstremisme selama bertahun-tahun. Bagaimana kita boleh menjemput Taliban dan al-Qaeda untuk membunuh seseorang?

“Taliban dan al-Qaeda adalah musuh kita yang telah membunuh orang tersayang kami,” tambah beliau.

Perdana Menteri Raja Pervez Ashraf juga mengutuk ganjaran  ditawarkan oleh Ghulam Ahmad, menurut jurucakapnya.

Pegawai AS sebelum ini menyebut, Nakoula adalah individu di sebalik pembikinan filem yang menghina Nabi Muhammad SAW itu.

Nakoula ditahan minggu lalu di California dan dituduh melanggar percubaan beliau pada suatu sabitan penipuan bank. Beliau diarahkan ditahan tanpa ikat jamin pada Khamis.

No comments:

Post a Comment