5 bekas ISA terima lebih RM4j
Badaruddin, Tian Chua, Saari dan Hishamuddin bersama ‘Bundle Rakaman Percakapan’ mereka di hadapan bilik perbicaraan pada 26 Mac lalu. - Gambar daripada blog Adun Hulu Kelang.
KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi, semalam memutuskan lima individu ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001 dibuat secara tidak sah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memutuskan demikian dan menetapkan, seorang aktivis reformasi, Hishamuddin Rais dan empat lain dibayar RM15,000 bagi setiap hari penahanan mereka mengikut akta tersebut.

Mahkamah perintah plaintif bayar RM200,000 ganti rugi teruk akibat penahanan ke atas lima individu dibuat mengikut seksyen 73 Akta Kementerian Dalam Negeri itu.

Hakim memutuskan penahanan itu bukan berdasarkan keselamatan negara, tetapi lebih kepada aspek politik.

Mahkamah menetapkan defendan bayar RM60,000 sebagai ganti rugi am dan RM40,000 bagi ganti rugi teladan berdasarkan alasan perkataan diucapkan Norian semasa sidang akhbar pada April 2001 berhubung dengan tahanan, adalah fitnah.

Hishamuddin Rais sebagai plaintif bersama empat yang lain memohon kepada mahkamah untuk menentukan Seksyen 8 dan Seksyen 73  ISA sah atau sebaliknya.

Plaintif lain, Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib; Ketua Penerangan PKR Selangor, Badrulamin Bahron dan Badaruddin Ismail.

Tian Chua, Hishamudin, Badaruddin, Badrulamin dan Saari memfailkan saman pada 4 April 2004 terhadap Tan Sri Norian Mai, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan menyalahi undang-undang tahanan.


Dalam pada itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan kerajaan membayar pampasan kepada lima bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dianggap kemenangan besar pembangkang dalam menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekali gus membuktikan undang-undang yang sudah dimansuhkan itu sebagai zalim.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, kemenangan ini adalah untuk rakyat yang menganggap ISA sebagai akta yang menindas dan bertentangan dengan hak asasi manusia.

“Mahkamah mengarahkan kerajaan bayar pampasan kepada kami dan ini membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepada kami tidak tepat dan palsu,” katanya.

Menurutnya, mereka terlepas daripada tuduhan atas fitnah oleh Ketua Polis Negara pada waktu itu, Tan Sri Norian Mai susulan kenyataan akhbar yang dibuat dan penahanan ISA yang dilakukan ke atas mereka adalah tidak sah dari segi Perlembagaan dan undang-undang negara.