Friday, October 26, 2012

Kongsi cerita sedih


       
AMMAN (JORDAN): Seawal usia tujuh tahun, ribuan kanak-kanak sudah menjadi mangsa perang saudara antara puak pembebasan dan tentera rejim Bashar al-Assad yang terpaksa berjalan lebih 80 kilometer meninggalkan kampung halaman mereka di Hums, Syria untuk mendapatkan perlindungan di Jordan.

Biarpun mereka enggan meninggalkan kampung halaman, kanak-kanak ini terpaksa berbuat demikian bagi memastikan terselamat daripada bedilan peluru yang datang daripada semua arah di perkampungan berkenaan.


Lebih menyedihkan, ada di antara kanak-kanak yang kehilangan seluruh ahli keluarga terpaksa membuat keputusan sendiri sama ada memilih untuk terus memperjudikan nasib dengan tinggal dalam ‘taufan peluru’ itu ataupun melarikan diri bersama penduduk kampung bagi mendapatkan perlindungan.

Malah, dalam menjadi pelarian yang disifatkan ‘misi hidup mati’ itu, dilaporkan ratusan ribu rakyat Syria maut termasuk puluhan ribu kanak-kanak.


Berkongsi cerita sedih itu, Ramadan, 8, antara kanak-kanak yang terselamat ketika melarikan diri dari perkampungan itu bersama ratusan ribu rakyat Syria yang lain.


Menurut Ramadan, dia kehilangan tujuh ahli keluarganya iaitu ayah, ibu, dan dua kakak serta tiga abang berusia antara 15 hingga 35 tahun yang terkorban pada 4 Ramadan lalu.



“Keluarga saya maut selepas rumah dibedil peluru kereta kebal tentera. Ketika itu saya sedang bermain di rumah rakan kira-kira tiga kilometer.


“Saya hanya mengetahui seluruh keluarga saya maut selepas dimaklumkan bapa rakan,” katanya memberitahu dia kemudiannya diajak untuk melarikan diri bersama keluarga rakannya itu.

Mengenangkan hidupnya yang sebatang kara, Ramadan kemudian bersetuju untuk berjalan ke sempadan Jordan dan kini berlindung di kem Za’tari.


Perkara sama diceritakan, Abdul Huzaifah, 9, yang menceritakan perjalanan ke kawasan sempadan adalah suatu pengalaman yang cukup meletihkan dan berisiko sehingga meragut nyawa ratusan ataupun ribuan kanak-kanak.


“Ramai rakan sebaya maut kerana terlalu letih selain tidak dapat menahan kelaparan dan dahaga,” katanya meskipun ada keluarga yang melarikan diri menggunakan kereta, namun kebanyakan mereka memilih untuk berjalan kaki kerana kenderaan musnah dalam perang saudara di Syria.

No comments:

Post a Comment