Wednesday, November 28, 2012

Mursi, peguam terus berselisih



Seorang penunjuk perasaan melontar batu ketika beberapa lelaki lain melarikan diri semasa satu pertempuran dengan polis antirusuhan tercetus berhampiran Dataran Tahrir, Mesir, kelmarin. - Reuters
KAHERAH 27 Nov. - Presiden Mesir, Mohammed Mursi semalam mempertahankan satu perintah yang memperluaskan kuasanya dalam pertemuan dengan hakim-hakim kanan negara ini.
Pembantunya, Yasser Ali berkata, Presiden Mesir itu memaklumkan Majlis Perundangan Agung bahawa dekri yang diumumkan beliau Khamis lalu tidak akan menjejaskan kuasa mahkamah kerana bersifat sementara dan terhad kepada ‘isu-isu berhubung kedaulatan negara’.
Yasser berkata, Mursi menyatakan beliau bertindak dalam bidang kuasanya sebagai satu-satunya sumber perundangan negara apabila membuat perisytiharan tersebut.
Pertemuan antara Mursi dengan anggota Majlis Perundangan Agung itu diadakan bagi menyelesaikan krisis yang bermula lima hari lalu yang mencetuskan keadaan huru-hara baru di negara ini dan menyaksikan seorang maut serta beratus-ratus orang cedera setakat ini.
Majlis Perundangan Agung yang menerima impak utama daripada perintah Mursi berkenaan, menggelar perisytiharan itu sebagai satu ‘rampasan kuasa’ dan serangan ke atas kebebasan sistem perundangan negara ini.
Cubaan Mursi untuk menjernihkan keadaan bagaimanapun ditolak apabila peguam hak asasi, Gamal Eid menyatakan perisytiharan itu direka bagi meletakkan pemimpin tersebut di luar sistem perundangan.
Seorang lagi peguam, Ahmed Ragheb berkata, apa yang disampaikan oleh Mursi itu hanyalah satu ‘permainan kata-kata’.
Mursi berdepan tunjuk perasaan besar-besaran esok berikutan tindakannya mengumumkan dekri tersebut minggu lepas, dalam satu krisis terburuk sejak beliau memerintah pada Jun lalu.
Satu pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan turut berlaku berhampiran Dataran Tahrir hari ini, lokasi aktivis berkampung menjelang bantahan besar-besaran esok. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121128/lu_01/Mursi-peguam-terus-berselisih#ixzz2DSkdCzSS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment