Wednesday, November 28, 2012

Kubur Yasser Arafat digali, cari punca kematian



Beberapa pekerja Palestin dan lelaki memakai sut perlindungan forensik melakukan kerja-kerja di hadapan kubur Yasser Arafat di Muqataa, bandar Ramallah, Tebing Barat, semalam. - AFP
RAMALLAH 27 Nov. - Kubur bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat digali hari ini bagi membolehkan pakar forensik antarabangsa mendapatkan bayangan punca sebenar kematiannya.
Menurut pegawai Palestin yang tidak mahu identitinya didedahkan, jenazah pemimpin itu yang dikebumikan di sebuah kawasan perkuburan besar di Ramallah, Tebing Barat akan dipindahkan ke masjid berdekatan.
Selepas itu, beberapa doktor Palestin akan menguruskan pengambilan sampel dari jenazah tersebut, yang kemudian akan diserahkan kepada pakar dari Perancis, Switzerland dan Rusia yang diterbangkan khas bagi proses itu, sebelum mereka melakukan ujian penentuan di negara masing-masing.
Setelah urusan tersebut selesai, jenazah beliau akan dikebumikan semula di kawasan perkuburan asal.
Sebelum ini, sampel turut diambil dari bilik tidur, pejabat dan barang-barang peribadi milik Arafat.
Penyiasatan baharu terhadap kematian Arafat bermula awal tahun ini selepas penemuan bahan radioaktif polonium pada pakaian pemimpin itu.
Arafat meninggal dunia pada November 2004 di hospital tentera Perancis, sebulan selepas beliau tiba-tiba jatuh sakit.
Walaupun kematian itu didakwa berpunca daripada strok, namun punca sebenar kematiannya masih belum jelas, mengundang spekulasi dunia Arab bahawa beliau meninggal akibat diracun oleh Israel.
Bagaimanapun, Israel menafikan tuduhan tersebut.
Beberapa pakar turut mendakwa, penggalian kubur Arafat tidak akan merungkai misteri kerana racun jenis itu mudah terurai dengan cepat dan juga tidak jelas sama ada sesetengah sampel itu mencukupi untuk dilakukan ujian. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121128/lu_02/Kubur-Yasser-Arafat-digali-cari-punca-kematian#ixzz2DSl56sPK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment