Friday, January 18, 2013

35 tebusan terkorban di Algeria



Gambar fail merakamkan kompleks pemprosesan gas di In Amenas di timur Algeria yang ditawan kumpulan pengganas, kelmarin. Sebanyak 35 tebusan terbunuh apabila tentera Algeria, semalam melancarkan serangan ke atas kompleks itu bagi menumpaskan kumpulan pengganas yang menahan 191 pekerja kompleks itu sebagai tebusan termasuk dua rakyat Malaysia, kelmarin. - REUTERS
ALGIERS, Algeria 17 Jan. - Sekurang-kurangnya 35 tebusan dan 15 orang pengganas terbunuh dalam serangan pasukan keselamatan Algeria ke atas sekumpulan pengganas yang menawan kompleks pemprosesan gas di In Amenas, di timur negara ini, hari ini.
Nasib dua warganegara Malaysia, yang dikenali sebagai K. Ravi, 48, dari Pulau Pinang dan Lau Seek Siang, 38, dari Sarawak, yang turut menjadi tebusan masih belum diketahui.
Sebanyak dua orang tebusan warga Jepun turut cedera dalam serangan tentera Algeria itu.
Ketua pengganas yang bertanggungjawab menahan kesemua tebusan itu, Abu al-Baraa dilaporkan turut terbunuh dalam serangan udara tentera Algeria itu.
Tentera Algeria menggunakan dua buah helikopter ketika menggempur kompleks tersebut, selepas sekumpulan militan bertindak menawan kompleks berkenaan, awal semalam dan menahan 191 pekerja sebagai tebusan termasuk 41 daripada mereka pekerja asing.
Dua warga Malaysia turut ditahan oleh kumpulan militan itu.
Bagaimanapun, tiada pihak dapat mengesahkan jumlah sebenar pekerja yang dijadikan tebusan oleh kumpulan pengganas terbabit.
Kumpulan pengganas terbabit menuntut kerajaan Algeria menarik balik sokongan kepada campur tangan tentera asing di Mali yang diketuai Perancis serta membebaskan lebih anggota kumpulan itu.
Sementara itu, sebanyak 55 tebusan telah berjaya melarikan diri sebelum tentera Algeria menggempur kompleks itu.
Awal pagi semalam, seorang warga Britain dan seorang warga Algeria terbunuh ketika kumpulan pengganas itu menawan kompleks tersebut. - AFP/REUTERS/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130118/lu_01/35-tebusan-terkorban-di-Algeria#ixzz2IKswhSag
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment