Friday, January 18, 2013

Mahfuz: PM harus saman Deepak

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan perundangan ke atas Deepak Jaikishan susulan kenyataan beliau berkenaan dengan usahawan itu semalam.

"PM harus ambil tindakan saman kerana tidak cukup hanya sekadar kata, 'apa yang dikatakan Deepak itu benar' dan tidak ada kewibawaan... ini kerana apa yang dikatakan Deepak melibatkan pemimpin negara," kata Mahfuz hari ini.

Mahfuz berkata demikian susulan kenyataan Najib malam tadi, menyangkal dakwaan Deepak sambil menegaskan, beliau tidak ada sebarang kaitan dengan tindakan detektif bebas P. Balasubramaniam mengeluarkan akuan bersumpah kedua berhubung kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2008.

Justeru, tegas Najib, pengedar karpet itu bukan seorang yang ada kredibiliti.

"Tidak benar. (Deepak) bukan seorang yang ada kewibawaan... ini bukan satu isu," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam ini.

Akhir bulan lalu, PKR menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis segera menyiasat kenyataan lima individu yang terlibat dalam memalsukan akuan bersumpah Balasubramaniam.

Mahfuz berkata, beliau berpandangan bahawa Najib mengenali Deepak, sebab itu mengatakan ahli perniagaan itu bukan seorang yang berwibawa.

"Oleh itu, saya mencadangkan kepada Datuk Seri Najib agar mengambil tindakan saman ke atas Deepak," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam pada itu, Mahfuz juga berkata, Pas bersedia bertemu dengan Deepak bagi mendengar permintaannya untuk mendapatkan perlindungan sebagai saksi.

Katanya, beliau bersedia untuk meluangkan masa selama dua jam kepada Deepak bagi mendengar "ceritanya."

"Jika sesuai saya akan membawa perkara ini ke Majlis Pimpinan Pakatan untuk dipertimbangkan," kata Mahfuz mengulas mengenai perlindungan yang diminta oleh Deepak sebelum ini.

Kata Mahfuz, memang ada peruntukan dalam undang-undang negara tentang perlindungan sebagai saksi.

"Deepak ada menyebut mengenai orang-orang kenamaan. Saya sedia menjadi seorang pendengar yang baik, dan saya akan mendengar apa yang hendak dikatakan oleh Deepak selama dua, saya mahu dia menghubungi saya, dan saya membawa ke Majlis Pimpinan Presiden Pakatan Rakyat hasrat dia untuk mendapatkan perlindungan sebagaimana diminta," katanya.

No comments:

Post a Comment