Friday, January 18, 2013

Perancis mula lancar serangan darat di Mali



BAMAKO 17 Jan. - Tentera Perancis mula melancarkan serangan darat ke atas militan Islam di Mali, hari ini dengan tumpuan serangan di pekan Diabaly dan Konna, yang dikuasai pemberontak.
Serangan itu dilancarkan ketika tentera di negara jiran Algeria mengepung kumpulan militan yang membunuh seorang warga Britain dan seorang warga Algeria serta menjadikan 41 pekerja asing sebagai tebusan bagi menuntut Perancis menamatkan campur tangan di Mali.
Selepas beberapa hari melancarkan serangan udara ke atas kedudukan pemberontak di utara Mali, yang dikuasai pemberontak sejak April lalu, pasukan khas Perancis dan tentera Mali melancarkan serangan darat di tengah pekan Diabaly dan Konna.
Pekan Diabaly ditawan kumpulan militan al-Qaeda, AQIM dipimpin oleh Abou Zeid dari Algeria awal minggu ini.
Menurut tentera Perancis, mereka setakat ini berjaya menguasai jambatan strategik di sungai Niger berhampiran pekan Markala di selatan Diabaly, sekali gus menyekat laluan ke ibu negara Bamako.
Menteri Pertahanan Perancis, Jean-Yves Le Drian berkata, kawasan barat di Diabaly menjadi kawasan kubu kuat kumpulan militan.
Menurut satu sumber keselamatan, pertempuran turut berlaku di Konna, bandar yang ditawan militan pada minggu lalu.
Sementara itu, Menteri Luar Chad, Moussa Faki Mahamat memberitahu Radio France Internationale, negara itu telah menghantar kira-kira 2,000 anggota tentera untuk membantu pasukan tentera Afrika di Mali.
Nigeria pula akan memimpin seramai 3,300 askar dari pelbagai negara Afrika selepas menerima kelulusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB), selain berjanji menghantar 900 askar.
Menteri Pertahanan Sepanyol pula mengumumkan akan membenarkan Perancis menggunakan lapangan terbangnya, Jerman menghantar dua pesawat pengangkut dan Itali memberi bantuan daripada segi logistik. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130118/lu_05/Perancis-mula-lancar-serangan-darat-di-Mali#ixzz2IKrWcpMx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment