Friday, January 18, 2013

Nasib 2 rakyat kita tak pasti

Foto
Sebahagian daripada tentera Algeria yang
dikerahkan selepas menerima maklumat kejadian.


Tebusan terperangkap dalam pertempuran askar Algeria, kumpulan penculik

Kuala Lumpur: Nasib dua rakyat Malaysia yang menjadi tebusan pemberontak di Selatan Algeria tidak dapat dipastikan selepas 35 tebusan dilaporkan maut apabila helikopter tentera kerajaan mengebom tempat penahanan mereka.

Dua warga Malaysia yang dijadikan tebusan di Kompleks Kemudahan Minyak dan Gas di Amenas, Algeria itu di kenali sebagai Lau Seek Chiang, 38, dan K Ravi Kuppusamy, 48, masing-masing dari Sarawak dan Pulau Pinang.
Pada masa sama, 14 penyerang bersenjata termasuk Abou El Baraa, ketua kumpulan yang menculik mereka juga dilaporkan terbunuh.


Foto
Menurut agensi berita Mauritania, ANI, tentera Algeria mengepung loji gas In Amenas yang terletak di kawasan terpencil dan menjadi tempat 41 tebusan termasuk dua rakyat Malaysia ditahan sebelum serangan udara dilancarkan.

Stesen televisyen Qatar, Al Jazeera turut menyiarkan laporan sama dengan memetik sumber lain.

Sebelum ini, mengikut laporan awal, 41 warga asing termasuk dua rakyat Malaysia yang dijadikan tebusan itu pagi kelmarin dipercayai dipasang dengan bahan letupan.


Halang serangan
Tindakan itu bagi menghalang pihak berkuasa Algeria menyerang lebih 60 pemberontak berkenaan bagi membebaskan tebusan termasuk dari Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Scotland, Jepun, Ireland, Filipina dan warga Algeria.

Kejadian tebusan itu dipercayai sebagai tindak balas pemberontak terhadap kerjasama Algeria dengan tentera Perancis dalam campur tangan di Mali. Pemberontak membunuh dua tebusan.

Warga Malaysia itu dikatakan sempat menghubungi keluarga di tanah air untuk memaklumkan kejadian yang menimpa mereka.
Foto
Penculik menunjukkan tebusan yang disiarkan
 di internet.

Agensi berita asing sebelum serangan itu melaporkan, 15 pekerja asing dan 30 warga tempatan yang menjadi tebusan kumpulan penyerang bersenjata itu berjaya melarikan diri.


Tak dapat sah laporan

Kedutaan Perancis dan sumber kerajaan Algeria tidak dapat mengesahkan laporan itu.

Sementara itu, dalam kejadian penculikan waktu subuh itu, kedua-dua rakyat Malaysia yang bertugas dengan syarikat petroleum Jepun, JGC Corporation berpangkalan di Singapura, dalam perjalanan ke pelantar minyak sebelum bas mereka ditawan.

Difahamkan, sebaik menerima berita itu, keluarga mangsa menghubungi Kementerian Luar bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ketika mengesahkan kes penculikan itu berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan kejadian itu dan sedang menunggu perkembangan terkini daripada rakan sejawatnya di Algeria, Mourad Medelci jika ada warga Malaysia lain yang turut dijadikan tebusan.

No comments:

Post a Comment