Friday, January 18, 2013

Lebih 100 lagi terkorban di Syria



BEIRUT 17 Jan. - Lebih 100 orang penduduk maut, termasuk wanita dan kanak-kanak, dalam insiden pembunuhan beramai-ramai terbaharu oleh tentera Syria, dakwa Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, hari ini.
Pertubuhan yang beribu pejabat di United Kingdom itu mendakwa kejadian itu berlaku di kawasan ladang di pinggir bandar Homs, kelmarin.
"Tentera Syria melancarkan pembunuhan beramai-ramai yang mengorbankan 106 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, kelmarin" dakwa pertubuhan itu yang mendapat maklumat daripada aktivis dan pasukan perubatan.
Pembunuhan itu berlaku di sebuah ladang di kawasan antara akademi tentera, pos pemeriksaan tentera dan daerah perindustrian di utara Homs.
Pertubuhan itu mednakwa kawasan itu menjadi tempat perlindungan kira-kira 1,000 orang yang melarikan diri daripada pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak di tengah bandar Homs.
Sekurang-kurangnya 32 orang dilaporkan ditembak mati oleh tentera, tetapi identiti mereka tidak dapat dipastikan.
Pertubuhan itu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan penyiasat untuk menyiasat kejadian itu.
Dalam kejadian berasingan, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, termasuk tujuh kanak-kanak dalam serangan udara terbaharu yang dilancarkan oleh tentera Syria hari ini.
Pengarah Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, Rami Abdel Rahman berkata, mangsa yang terbunuh merupakan tujuh kanak-kanak perempuan, tiga wanita dan seorang lelaki.
Katanya, serangan itu berlaku di daerah Husseiniyeh, wilayah Damsyik yang turut menempatkan pelarian Syria dan Palestin. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130118/lu_06/Lebih-100-lagi-terkorban-di-Syria#ixzz2IKsUcoTC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment