Sunday, January 20, 2013

Jika berlaku di Sabah, mungkin juga di Selangor

(Anwar dan Khalid ketika bercakap dengan media - foto Selangorku)

SHAH ALAM: Jika pendaftaran warga asing boleh berlaku di Sabah untuk dijadikan pengundi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin ia juga berlaku di Semennajung khasnya di Selangor.

Anwar berkata, pendedahan dalam siasatan siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) itu membuktikan penglibatan SPR dalam isu tersebut dan ini meragukan kerana perkara sama turut berlaku kini di Selangor.

“Yang dipertikaikan sekarang ialah tidak mengikut peraturan, isu rasuah dan lebih mengejutkan ialah peranan SPR dalam proses penipuan ini.

“Kita mahukan respon segera daripada SPR kerana ia berlaku pada masa lalu dan kita mempunyai bukti berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, lapor media rasmi kerajaan negeri Selangor, Selangorku.com

Sebelum ini, bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Nasir Sugip memberi keterangan berhubung dakwaan kerjasama pihak berkuasa untuk mengubah demografi pemilih Sabah pada 1990-an.

Mohd Nasir ketika memberi keterangan kepada RCI mengenai masalah imigrasi Sabah mendakwa jabatannya pernah menerima arahan daripada SPR Sabah untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing untuk membolehkan golongan itu mengundi.

Beliau yang pernah ditahan di bawah ISA mendakwa operasi yang digelar “Ops Durian Buruk” itu dijalankan antara tahun 1992 hingga 1995.

Dakwanya, pengarah SPR Sabah pada masa itu, Wan Ahmad menyerahkan senarai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi ‘Bumiputera Islam’.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor itu berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah menjalankan kaji selidik mengenai pendaftaran pengundi baru berjumlah kira-kira 400,000 orang.

“Terdapat lebih kurang 138,000 tidak dapat dikesan. Adakah mereka ini dalam kategori sama sebagaimana dikatakan dalam RCI.

“Sekarang ini ialah tanggungjawab SPR supaya menghentikan penipuan dan penyalahgunaan kuasa ini,” katanya.

Katanya, mereka yang didaftarkan ini mungkin tidak hanya mengundi di Sabah tetapi di Selangor, Kuala Lumpur atau Johor.
harakah

No comments:

Post a Comment