Sunday, January 20, 2013

Kedutaan bawa pulang tiga mangsa tebusan



Kuala Lumpur: Kedutaan Malaysia di Algeria sedang berusaha membawa pulang tiga rakyat kita yang diselamatkan dalam insiden tebusan di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) Amenas.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dalam satu kenyataan semalam, berkata pihak kedutaan berjaya menghubungi ketiga-tiga warga Malaysia yang dijadikan tebusan oleh kumpulan pemberontak Mali itu serta mengesahkan mereka selamat dan dijangka dapat dibawa pulang ke tanah air dalam tempoh terdekat.
“Kita dimaklumkan lima rakyat Malaysia bekerja di kompleks itu ketika insiden berkenaan, namun nasib dua lagi rakyat kita belum dapat disahkan. Kita memaksimumkan usaha mendapatkan status mereka dan pada masa sama, pihak kedutaan sedang menguruskan penghantaran pulang tiga yang selamat ke Kuala Lumpur,” katanya.

Wisma Putra sudah menghubungi keluarga Ravi Kuppusamy, 48, dari Pulau Pinang serta keluarga Lau Seek Chiang, 38, dan Patrict Purait Awang dari Sarawak untuk memaklumkan perkara itu. Difahamkan mereka kini di bawah perlindungan tentera Algeria dan sudah dibawa ke Algiers, namun nasib Chong Ngen Chung dan Tan Ping Wee belum diketahui.

Dalam kejadian Rabu lalu, 35 tebusan dan 15 pengganas terbunuh dalam serangan pasukan keselamatan Algeria ke atas kumpulan militan yang menawan kompleks itu awal pagi hari terbabit. Kumpulan militan didalangi Mokhtar Belmokhtar sebelum itu menawan kompleks berkenaan dan menahan 191 pekerja sebagai tebusan termasuk 41 pekerja asing.

Tindakan itu dipercayai bermotif balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan ruang udara negara berkenaan digunakan pesawat tempur Perancis untuk menyerang pemberontak di Mali.

Sementara itu di Miri, ahli keluarga Patrick, Ling Sie Kiong, berkata jurutera petroleum dari Piasau itu menghubungi isterinya kira-kira jam 10 malam kelmarin, memaklumkan dia selamat dan meminta keluarga mendoakannya selamat pulang ke tanah air.
Usaha menemubual isteri Patrick yang enggan identitinya didedahkan, gagal kerana wanita itu masih dalam keadaan terkejut dan bimbang dengan keselamatan suaminya. Reaksi sama juga diberikan isteri Seek Chiang yang ketika ditemui di Tabuan Jaya, Kuching, hanya memaklumkan dia tahu suaminya masih hidup.

Di Georgetown, isteri Ravi, Doreen anak Michael Tajie, 45, juga enggan mengulas lanjut, sekadar mengakui amat gembira sebaik mengetahui jurutera berkenaan selamat selepas menerima panggilan telefon daripada suaminya, tengah malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment