Sunday, January 20, 2013

Sembunyi atas bumbung elak ditangkap militan



MIRI - Seorang rakyat Malaysia menceritakan, dia terselamat daripada menjadi tebusan kumpulan militan yang menawan loji gas di In Amenas, Algeria dengan bersembunyi di atas bumbung bangunan sebelum berlaku serangan berdarah yang mengorbankan puluhan orang pada Rabu lalu.
Patrick Purait Awang, 40-an, yang berasal dari Miri, Sarawak sempat memanjat bumbung sebaik sahaja terdengar bunyi siren amaran di loji milik syarikat BP itu.
Menurut kakak mangsa, Susan Awang, perkara itu dimaklumkan oleh adiknya itu dalam perbualan dengan isterinya pada Jumaat lalu.
"Patrick memberitahu dia selamat dan meminta keluarga tidak bimbang," kata Susan ketika ditemui di rumahnya di Kanada View Garden di sini semalam.
Dalam kejadian itu, seramai 60 pemberontak lengkap bersenjata menyerang dan menawan loji tersebut dan menjadikan 150 pekerja termasuk lima rakyat Malaysia sebagai tebusan.
Bagaimanapun, Patrick berjaya melepaskan diri lebih awal manakala dua lagi, K. Ravi dan Lau Seek Siang diselamatkan dalam serangan balas tentera Algeria sehari kemudian.
Serangan ke atas loji tersebut dipercayai tindakan balas militan terhadap kerajaan Algeria yang membenarkan ruang udaranya digunakan pesawat tempur Perancis untuk menyerang pemberontak di Mali.
Menurut Susan, dalam perbualan tersebut, Patrick sempat memberitahu dia dalam perjalanan ke Kedutaan Malaysia di Algeria bagi mendapatkan perlindungan keselamatan.
"Isteri Patrick yang sebelum ini jatuh sakit kini beransur pulih selepas mendapat berita suaminya selamat," ujarnya.
Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataannya semalam menjelaskan, Kedutaan Malaysia di Algeria sedang berusaha membawa pulang tiga rakyat Malaysia itu dalam masa terdekat.
Mereka bagaimanapun belum dapat mengesahkan nasib dua lagi tebusan, Chong Ngen Chung dan Tan Ping Wee.
"Pihak kami seantiasa menghubungi keluarga mangsa untuk menyampaikan perkembangan terkini," kata kenyataan itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2ITCredWJ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment