Sunday, January 20, 2013

Thailand kecam isu Rohingya



Bangkok: Ketua Tentera Thai, Jeneral Tanasak Patimapragorn semalam mengecam masyarakat antarabangsa kerana lepas tangan terhadap isu pelarian Rohingya.

Menurutnya, sementara organisasi antarabangsa menekankan perlunya bantuan disalurkan kepada pelarian Rohingya, mereka tidak memberikan bantuan secara langsung dan akhirnya Thailand terpaksa memikul beban untuk menjaga kebajikan pelarian berkenaan. Beratus-ratus pelarian Rohingya ditahan di Songkhla, Narathiwat, Trang, Pattani dan Phangnga di selatan negara itu minggu lalu ketika dalam percubaan untuk memasuki Malaysia.


Seramai 949 pelarian berkenaan ditahan di Thailand semalam.

Patimapragorn berkata, sama ada kem pelarian perlu dibina di negara itu bagi pelarian terbabit terserah kepada keputusan kerajaan. Dia berkata, Thailand merasa bertanggungjawab untuk menyediakan perlindungan jangka pendek dan bantuan kepada pelarian itu atas dasar kemanusiaan, tetapi untuk jangka panjang mereka perlu meninggalkan negara itu.


Menurutnya, Thailand bukan negara sasaran pelarian Rohingya, tetapi hanya sebagai persinggahan digunakan mereka untuk melarikan diri ke negara dunia ketiga.


Perdana Menteri Yingluck Shinawatra kelmarin berkata, kerajaan Thailand akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai strategi terbaik untuk membendung pelarian Rohingya daripada meninggalkan Myanmar secara beramai-ramai, selain mengenal pasti negara dunia ketiga yang bersesuaian untuk pelarian itu tinggal. - AFP

No comments:

Post a Comment