Wednesday, March 20, 2013

Ghassan Hitto dilantik PM wilayah pemberontak


Ghassan Hitto (kanan) menerima ucapan tahniah dari pemimpin Perikatan Nasional Syria, Moaz al-Khatib selepas dipilih sebagai Perdana Menteri wilayah yang dikuasai pemberontak Syria di Istanbul, Turki, kelmarin. - AFP
ISTANBUL 19 Mac - Kumpulan pemberontak utama di Syria, Perikatan Kebangsaan Syria, melantik eksekutif komunikasi dan aktivis Islam, Ghassan Hitto, sebagai Perdana Menteri bagi wilayah yang dikuasai pemberontak di negara itu.
Seorang anggota perikatan itu, Hisham Marwa memberitahu wartawan di Istanbul, Turki, lewat semalam, Hitto, yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) selama beberapa dekad, menerima 35 undi daripada 49 undi keseluruhan.
Keputusan itu dibuat dalam rundingan tertutup lebih 14 jam dalam kalangan 70 anggota kanan perikatan dengan sesetengahnya menyifatkan Hitto sebagai calon yang disokong oleh kedua-dua pihak dalam pembangkang iaitu daripada pergerakan Islam dan liberal.
Namun, beberapa anggota perikatan bertindak keluar daripada mesyuarat sebelum undian dijalankan, sekali gus menunjukkan berlaku perpecahan dalam kalangan mereka.
Ketika undian itu diadakan, anggota perikatan yang tinggal membuang kertas undi di peti lutsinar yang diletakkan di hadapan dewan persidangan.
"Ini adalah satu proses pengundian yang demokrasi dan bersih," kata ketua perikatan itu, Ahmed Moaz al-Khatib.
Menurut anggota-anggota perikatan, tugas pertama Perdana Menteri ialah membentuk kerajaan sementara dan Hitto merancang untuk membuka pejabat di wilayah yang dikuasai pemberontak di Syria.
Hitto mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam syarikat telekomunikasi dan teknologi tinggi, termasuk 16 tahun terlibat dalam pengurusan eksekutif.
Beliau meletak jawatan pada November lalu untuk menyertai revolusi Syria dan menjadi ketua bantuan kemanusiaan yang beribu pejabat di Turki, menurut jurucakap Perikatan Kebangsaan Syria, Khaled al-Saleh.
Pemberontak Syria kini dilaporkan menguasai sebahagian besar kawasan di utara dan timur Aleppo serta bahagian bawah tengah negara itu iaitu antara Idlib dan Hama.
Dalam perkembangan terbaru di Syria hari ini, tentera kerajaan didakwa mengebom kawasan sempadan antara Syria dan Lebanon. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130320/lu_08/Ghassan-Hitto-dilantik-PM-wilayah-pemberontak#ixzz2O37euZtU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment