Wednesday, March 20, 2013

Sabah tetap kita punya


JAMALUL Kiram III (duduk tengah), Esmail Kiram II (berdiri kanan) bersama anak-anak Datu Punjungan Kiram yang mengangkat dirinya sebagai Sultan Sulu.
SELEPAS berakhir era komunis dan konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia pada 1965, ini merupakan kali pertama negara berdepan dengan konfrantasi ketenteraan dengan pihak luar yang menceroboh kedaulatan negara ini.
Walaupun berlaku beberapa insiden berdarah sebelum itu, seperti tragedi Memali dan serangan militan di Sauk, tetapi ia merupakan kejadian-kejadian jenayah yang mengugat keselamatan negara dan tidak melibatkan pencerobohan kedaulatan negara.
Berita pencerobohan kumpulan pengganas yang dipimpin oleh Jamalul Kiram III ini di Lahad Datu, Sabah mulai 9 Februari Februari lalu telah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia.
Tindakan pengecut kumpulan penceroboh itu bertindak memperdayakan pasukan komando VAT 69 Malaysia pada hari Jumaat dua minggu lalu menyebabkan rakyat Malaysia marah.
Rakyat Malaysia semakin berang apabila mengetahui enam lagi anggota polis kita terbunuh di tangan pengganas ini pada keesokan harinya, terutama apabila mengetahui beberapa orang anggota polis itu disiksa terlebih dahulu sebelum mereka dibunuh dengan kejam dengan organ mereka dikeluarkan daripada badan dan kepala seorang daripada mereka dipenggal.
Jamalul Kiram mengaitkan pencerobohan pengikutnya itu dengan haknya ke atas Sabah dan bertegas tidak akan tunduk kepada desakan kerajaannya dan kerajaan Malaysia supaya mengarahkan pengikutnya itu menyerah diri bagi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.
Persoalannya apakah benar, Jamalul Kiram mempunyai hak ke atas Sabah seperti yang didakwanya.
Banyak faktor bagi menolak tuntutan Jamalul Kiram itu sama ada berdasarkan fakta sejarah mahupun bukti-bukti lain.
Daripada segi faktor sejarah, Kesultanan Sulu sudah tidak wujud lagi selepas Sultan Sulu ketika itu, Jamalul Kiram II menandatangani Protokol Madrid pada 1885 yang mengesahkan penyerahan semua wilayah, kedaulatan dan kuasa Kesultanan Sulu kepada Sepanyol dan menyerahkan kedaulatan Sabah kepada British North Borneo Company (BNBC).
Protokol Madrid itu kemudian diiktiraf sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2003.
Protokol Madrid itu ditandatangani selepas satu perjanjian awal antara Sultan Jamalul A'lam dengan Gustavus Baron de Overbeck serta Alfred Dent, yang mewakili BNBC pada 22 Januari 1878 untuk memajak Sabah kepada BNBC.
Pajakan yang dikurniakan oleh Sultan Sulu itu merupakan penyerahan secara kekal sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian itu 'selagi ada bintang dan cakerawala'.
Kesultanan Sulu kemudian menandantangani pula perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) di bawah Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915 menyerahkan sepenuh kuasanya ke atas wilayah-wilayah serta kedaulatannya kepada AS.
Dengan kedua-dua perjanjian itu, Kesultanan Sulu tidak lagi wujud sebagai sebuah negara, mahupun sebuah kerajaan tetapi hanya sebagai sebuah institusi beraja tanpa kekuasaan.
Manakala di bawah perjanjian dengan BNBC pada 1878 pula, waris-waris Sultan Sulu telah menerima bayaran 'cession' sehingga ke hari ini, yang membawa maksud waris-waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.
Status Kesultanan Sulu sebagai sebuah kerajaan terus hilang selepas Kesultanan Sulu menyerahkan wilayah-wilayah dan kedaulatannya kepada kerajaan Filipina diikuti tindakan kerajaan Filipina berhenti mengiktiraf Sultan Sulu selepas kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada 1986.
Adalah difahamkan bahawa Kesultanan Sulu pernah diajak menyertai Malaysia semasa penubuhan Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak, tetapi ditolak oleh Sultan Sulu ketika itu yang memilih untuk menyertai Filipina.
Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan pada 1 Ogos 1962 yang mendapati lebih dua pertiga penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan Malaysia menguatkan lagi hujah bahawa Sabah bersetuju menyertai Malaysia dan Sabah menjadi sebahagian wilayah Malaysia dengan restu penduduk negeri itu dengan mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pungutan suara yang diadakan oleh Suruhanjaya Cobbold pada 1962 itu yang dijalankan selama empat bulan menerima 2,200 memorandum dengan kira-kira 80 peratus penduduk di negeri Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia dan bersetuju menyertai Malaysia.
Suruhanjaya Cobbold menyamai Referendum Singapura pada 1962 berhubung penubuhan Malaysia yang mendapati penduduk Singapura bersetuju menyertai Malaysia.
Setiausaha Agung PBB ketika itu, U Thant dalam kenyataannya pada 1963 menyatakan bahawa penduduk Sabah "ingin menamatkan status kebergantungan mereka dan merealisasikan kemerdekaan mereka melalui penyekutuan yang dipilih secara bebas dengan bangsa lain dalam rantau mereka".
Selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, Malaysia terus membangunkan Sabah seperti yang ada sekarang dan mengambil tanggungjawab untuk membangunkan infrastruktur untuk kemudahan penduduk Sabah.
Ini membuktikan pemilikan dan pentadbiran berterusan secara aman oleh kerajaan Malaysia ke atas Sabah.
Mengikut dasar effectivites yang diambil kira oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Malaysia boleh dianugerahkan hak ke atas Sabah, seperti mana yang pernah diberikan kepada kerajaan Malaysia dalam kes Ligitan-Sipadan.
Selain itu, Kesultanan Sulu tidak konsisten dalam tuntutan mereka dengan mendakwa Sabah sebagai milik mereka, tetapi gagal membuat tuntutan serupa terhadap wilayah-wilayah lain yang pernah mereka kuasai termasuk pusat pentadbiran mereka sendiri di Jolo, dan wilayah Palawan, Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina.
Isu pajakan Sabah kepada British North Borneo Company telah dibawa oleh waris-waris Kesultanan Sulu ke mahkamah sebanyak dua kali. Kali pertama pada 1939, apabila Hakim Mahkamah Sesyen Borneo Utara, Makaskie memutuskan supaya BNBC terus membayar kepada waris-waris Kesultanan Sulu.
Apabila Sabah merdeka melalui Malaysia, kerajaan Malaysia meneruskan bayaran Pajakan Sabah itu kepada sembilan waris Kesultanan Sulu, membuktikan Malaysia berhak terus mengurus dan mentadbir Sabah selepas mengambil alih pentadbiran daripada penjajah British.
Memandangkan Kesultanan Sulu tidak lagi wujud sebagai sebuah negara dan kerajaan, serta sudah hilang kedaulatan dan kekuasaannya setelah menyerahkan wilayah-wilayah dan kedaulatannya kepada Sepanyol, AS dan kemudian kepada kerajaan Filipina, maka tuntutan Jamalul Kiram III ke atas Sabah tidak sah kerana perjanjian pajakan itu ialah antara Kesultanan Sulu dengan BNBC dan bukan antara waris Kesultanan Sulu dengan BNBC.
Lebih-lebih lagi statusnya sebagai Sultan Sulu tidak diiktiraf oleh mana-mana kerajaan termasuk kerajaan Filipina, malahan oleh waris-waris Kesultanan Sulu yang lain.
Keputusan Hakim Makaskie itu supaya BNBC terus membayar kepada sembilan waris Kesultanan Sulu mengesahkan lagi pemilikan Malaysia ke atas Sabah kerana Malaysia terus membayar pajakan sebagai mematuhi perjanjain 1878 itu.
Melalui perintah itu, Hakim Makaskie sendiri cuba memberi pentafsiran baru secara tersirat kepada istilah pajakan itu. Secara langsung juga penerusan pembayaran pampasan itu membawa maksud putusnya perjanjian tersebut antara Kesultanan Sulu dan BNBC, dan kemudiannya dengan Malaysia kerana kerajaan Malaysia tidak lagi berurusan dengan Kesultanan Sulu.
Sebenarnya Malaysia boleh bertindak tidak membayar kerana Kesultanan Sulu sudah tidak ada lagi, maka secara semula jadinya juga soal pajakan juga sudah hilang dan tidak timbul lagi.
Dalam satu lagi kes yang sama di Mahkamah Jolo pada 2011, hakim ketika itu turut membuat keputusan yang sama.
Berdasarkan hujah-hujah itu, Jamalul Kiram tiada hak untuk menuntut Sabah lagi bagi mewakili kaum Tausug, selain hanya jika beliau mempunyai kepentingan tertentu untuk dirinya dan keluarganya.
Sejak perjanjian 1878 dan penyerahan Sabah kepada BNBC, Kesultanan Sulu juga tidak berbuat apa-apa untuk rakyat Tausug di Sabah mahupun membawa kemajuan di Sabah.
Wang pajakan yang diterima sejak 1878 sehingga kini itu juga tidak dikongsipun dengan rakyat Tausug dan Sabah.
Maka rakyat Sabah tidak berhutang apa-apa dengan Jamalul Kiram.
Tindakan pengikut Jamalul Kiram menceroboh Sabah dan menggunakan tindakan keganasan untuk mencapai maksudnya itu adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, dan kerajaan Filipina serta Malaysia perlu bersatu bertindak menghapuskan mereka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20130310/lk_01/Sabah-tetap-kita-punya#ixzz2O3VHgZvK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment