Wednesday, March 20, 2013

Letupan bom ragut 57 nyawa



Penduduk berkumpul di lokasi serangan bom di Mashtal, Baghdad, Iraq, semalam. - REUTERS
BAGHDAD 19 Mac - Beberapa letupan bom kereta dan tembakan meletus di kawasan pengikut Syiah dan sekitar Baghdad, meragut 57 nyawa dan mencederakan 88 yang lain.
Kejadian berlaku pada malam ulang tahun ke-10 pencerobohan Amerika Syarikat (AS) di Iraq apabila sekurang-kurangnya 12 buah kereta yang dipasang dengan bom meletup, selain pembunuhan berterusan berlaku di ibu negara ini.
Pihak berkuasa memberi amaran, jumlah kematian akan meningkat, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keupayaan pasukan keselamatan mengawal keselamatan semasa pilihan raya wilayah pada bulan depan.
Serangan berlaku di kawasan kediaman pengikut Syiah dan sekitar bandar ini pada waktu pagi dan pasukan keselamatan kemudiannya memperkukuhkan pemeriksaan di pusat-pusat kawalan dan menutup beberapa jalan utama hingga memburukkan lagi keadaan.
Pasukan tentera dan polis turut menubuhkan pusat pemeriksaan baharu dan mencari kenderaan kerajaan yang sering dibenarkan memasuki kawasan yang dibenarkan tanpa pemeriksaan.
Menurut pegawai keselamatan, 10 buah kereta telah dipasangkan bom termasuk dua daripadanya dipasang pada badan penyerang berani mati.
Serangan tersebut berlaku di kawasan kediaman Husseiniyah, Mashtal, Zafraniyah, Baghdad Jadidah, Kadhimiyah, Sadr City dan Shuala serta bandar Iskandariah yang terletak di selatan bandar ini.
Sementara itu, di daerah Saidiyah dan Mansur, dua orang ditembak mati.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.
Minggu lalu, 87 orang dilaporkan terbunuh menjelang ulang tahun pencerobohan AS di Iraq. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130320/lu_05/Letupan-bom-ragut-57-nyawa#ixzz2O37qnhMP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment