Tuesday, April 9, 2013

Jepun arah tembak misil Korea Utara



Tokyo: Jepun semalam mengarahkan angkatan tentera negara itu menembak jatuh mana-mana peluru berpandu Korea Utara yang menghala ke wilayahnya, ketika spekulasi semakin memuncak bahawa Pyongyang dijangka membuat satu lagi pelancaran minggu ini.

Pegawai berkata, Menteri Pertahanan Itsunori Onodera mengeluarkan arahan itu yang bakal menyaksikan kapal pemusnah Aegis dilengkapi peluru berpandu pemintas dari permukaan laut, diletakkan di dalam keadaan berjaga-jaga di laut Jepun.
Ujian peluru berpandu Ia dikeluarkan selepas pegawai keselamatan di Korea Selatan berkata Korea Utara mungkin menjalankan ujian peluru berpandu, manakala Amerika Syarikat menangguhkan ujiannya sendiri berikutan keadaan tegang di wilayah itu.

Pegawai berkenaan yang namanya tidak didedahkan berkata, arahan itu dikeluarkan kelmarin, bersifat rutin dan tidak digembar-gemburkan.

“Kami tidak akan mengadakan sidang akhbar mengenai arahan berkenaan kerana ia adalah prinsip kerajaan Jepun yang tidak akan terpengaruh dengan provokasi Korea Utara.

“Jika kami membuat pengumuman terbuka dan memberi penjelasan terperinci, Korea Utara akan mengetahui sebahagian strategi kami,” kata pegawai berkenaan.

Sementara itu di SEOUL, Menteri Perpaduan Ryoo Kihl-Jae berkata, Korea Utara dilihat membuat persediaan untuk melancarkan ujian nuklear keempatnya, walaupun sekutu kuatnya China mendesak agar ia tidak diteruskan.
“Kami berusaha mengenal pasti sama ada Pyongyang benar-benar membuat persediaan untuk pelancaran itu atau sekadar cuba untuk meningkatkan tekanan ke atas Korea Selatan dan Amerika,” katanya.

Korea Utara menjalankan ujian nuklear ketiga Februari lalu, disusuli sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membawa kepada permulaan ketegangan di Semenanjung Korea.

Laporan perisikan menyatakan bahawa Pyongyang sedang menyiapkan dua peluru berpandu jarak sederhana di tapak pelancarannya di bahagian pantai timur dan dijadual melaksanakan ujian itu sebelum hari lahir pengasas negara itu Kim Il-Sung pada 15 April.

Kebanyakan rancangan Korea Utara untuk melancarkan ujian nuklear ketika semenanjung Korea dilanda ketegangan adalah tindakan provokasi keterlaluan.

AFP

No comments:

Post a Comment