Tuesday, May 21, 2013

7 anggota keselamatan diculik muncul dalam video



Kaherah: Tujuh lelaki yang dipercayai anggota pasukan keselamatan yang diculik oleh kumpulan militan minggu lalu muncul dalam rakaman video yang disiarkan secara atas talian semalam, menggesa kerajaan Mesir berusaha membebaskan mereka dengan memenuhi tuntutan penculik.

Video yang dimuat naik pada YouTube itu adalah yang pertama menunjukkan enam anggota polis dan seorang pengawal sempadan itu sejak mereka diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata di jalan raya dari Semenanjung Sinai ke Kaherah Khamis lalu.


Pegawai Keselamatan Mesir percaya mereka adalah anggotanya yang hilang. Seorang bapa mangsa juga mengenal pasti anaknya dalam video berkenaan.

Penculikan itu memalukan kerajaan Presiden Mohammed Mursi dan dilihat sebagai ujian terhadap keupayaan pentadbirannya untuk mengembalikan keselamatan di wilayah bergolak itu.


Ia turut membaharui perbahasan mengenai cara terbaik untuk menangani kekacauan di utara Sinai yang bersempadan dengan Gaza dan Israel.


Meskipun ramai yang menggesa supaya kerajaan melancarkan tindak balas serta-merta, ada yang berpendapat tindakan seperti itu akan memberi kesan buruk.

Sinai dilanda kekacauan sejak 2011 selepas kerajaan Hosni Mubarak digulingkan. Dalam video yang dimuatnaik semalam, mangsa penculikan yang mata mereka ditutup, mengenalkan diri mereka seorang demi seorang.


Seorang daripada mereka yang dikenalpasti Ibrahim Sobhi Ibrahim meminta pemimpin Mesir membebaskan anggota militan Sinai yang ditahan di penjara.

“Penculik kami menuntut pembebasan tahanan politik dari Sinai. Kepada Presiden Mursi, kami merayu supaya bertindak pantas. Kami tidak tahan lagi dengan penderaan yang mereka lakukan ke atas kami,” katanya ketika ditemui. - AFP

No comments:

Post a Comment