KUALA LUMPUR: Penggunaan dakwat kekal yang diperkenalkan dalam PRU13 baru-baru ini didakwa sebagai satu elemen untuk menimbulkan konspirasi yang dibuat secara halus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi tertentu termasuklah BN.
Dakwaan itu terbukti apabila seorang pemuda, Mohd Fadhli Khaharruddin berasal dari Kuantan mengakui telah mengundi dua kali.
Tindakannya itu menguatkan lagi dakwaan bahawa wujud ruang manipulasi yang mendorong kepada penipuan pada PRU13 lalu.
Mengulas perkara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan isu dakwat kekal adalah isu pokok bagi sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.
"Untuk memastikan pilihan raya bersih dakwat mesti kekal, tempoh kekal dakwat itu sebagaimana dijamin oleh SPR iaitu kekal sehingga lima hari, maka tidak akan berlaku penggundian dua kali sepertimana yang berlaku pada anak muda di Kuantan hari ini,"katanya kepada Harakahdaily.
Katanya, hari ini sudah terbukti jika dakwat betul-betul kekal, maka tidak timbul pengundian dua kali.
Malangnya kata beliau, apabila Pakatan Rakyat membangkitkan perkara ini di dalam siri himpunan Black505, SPR mula mengeluarkan hujah lapuk dengan mengatakan Pakatan Rakyat kalah dalam PRU13 terus menuduh SPR tidak bersih.
Mahfuz yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah terus mengajak seluruh rakyat negeri itu berhimpun pada malam ini di Kompleks PAS Kota Sarang Semut untuk terus menyatakan bantahan terhadap ketidaktelusan SPR dalam PRU13 lalu.
"Di dalam himpunan Black505 pada malam ini peringkat negeri Kedah, kita akan terus persoal tindakan SPR yang gagal menjadikan PRU13 sebagai pilihan raya yang bersih dan adil," katanya.
Terdahulu, Fadhli Khaharruddin mengaku keluar mengundi dua kali kerana mahu membuktikan sistem pilihan raya menggunakan dakwat kekal masih boleh dipertikaikan.
“Saya mengundi kali pertama jam 10.30 pagi di saluran 4, peti undi Sekolah Kebangsaan Sungai Isap dan kemudian undi kali kedua pada jam 1.15 petang di lokasi yang sama,” katanya dipetik akhbar bahasa Melayu versi online itu.
“Dengan cara mengundi sebanyak dua kali maka saya boleh membuktikan bahawa sistem pilihan raya masih boleh dipertikaikan,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment