Tuesday, May 21, 2013

Tiga bebas tuduhan galak keganasan di Syria




20 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini melepas serta membebaskan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan dua individu lain daripada pertuduhan terlibat dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.
 
Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Yazid, Halimah Hussein dan Muhammad Hilmi Hasim untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka.
 
"Mahkamah dengan jelas dan nyata menggunakan budi bicara sedia ada untuk membenarkan notis usul ketiga-tiga pemohon dibatalkan, atau diketepikan, atau digantung selama-lamanya, dan memerintahkan mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya.
 
Dalam penghakimannya, Kamardin berkata mahkamah berpuas hati terdapat merit dalam hujahan peguam berhubung isu pertuduhan dan pemakaian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
 
"Saya bersetuju bahawa Perkara 149 itu hanya terpakai bagi ancaman keganasan yang dituju kepada keselamatan dalam negeri oleh orang atau sekumpulan orang yang berada di dalam dan di luar negara Malaysia.

"Oleh kerana pertuduhan itu melibatkan kesalahan yang dilakukan di Syria, maka ia tidak tertakluk dalam ruang lingkup atau skop pemakaian di bawah Perkara 149, dan SOSMA yang digubal di bawah Perkara 149 tidak boleh dipakai sebagai  prosedur untuk membuktikan pertuduhan terhadap ketiga-tiga pemohon," katanya.
 
Kamardin juga berkata jika pendakwaan diteruskan, ia merupakan salah guna proses mahkamah yang tidak sewajarnya berlaku.
 
Yazid, 49, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, berdepan pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria manakala rakannya, Halimah dan pembantu kafeteria Muhammad Hilmi didakwa bersubahat dengan Yazid melakukan kesalahan itu.
 
Mengikut kertas pertuduhan, mereka melakukan kesalahan itu untuk memajukan suatu ideologi, dan perbuatan itu diniatkan bagi mengugut orang awam di Syria di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi pada 1 Ogos hingga 20 Okt 2012.
 
Yazid didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan manakala Halimah dan Muhammad Hilmi mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamad kemudian memohon ketiga-tiga tertuduh ditahan reman sementara menunggu notis rayuan difailkan.
 
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak.
 
Sejurus prosiding mahkamah, ketiga-tiga tertuduh dilihat melakukan sujud syukur dalam kandang tertuduh, dan anggota keluarga yang hadir memeluk mereka sebelum bergegas keluar meninggalkan mahkamah.
 
Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, berkata Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan SOSMA hanya terpakai bagi ancaman yang memudaratkan ketenteraman awam di Malaysia dan bukan di negara luar.
 
Abdul Wahab pula berhujah isu itu tidak timbul kerana keganasan bersifat global dan mendakwa tindakan pemohon menjadikan Malaysia sarang pengganas, membahayakan keselamatan negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment