Tuesday, May 21, 2013

Kenapa pemimpin Umno rasis tidak ditangkap?



KUALA LUPMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) mempersoal penangkapan yang dibuat oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap aktivis mahasiswa Adam Adli di bawah Akta Hasutan kelmarin.

Ketua Peneranganya Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu dilihat sebagai zalim dan berat sebelah terhadap rakyat Malaysia yang bersuara menentang kebobrokan perjalanan pilihan raya di Malaysia.

"Mengapa tiada tindakan diambil kepada akhbar Utusan Malaysia yang jelas dan terang membangkitkan sentimen perkauman terhadap bangsa Cina serta pemimpin-pemimpin Umno yang memusuhi komuniti itu ekoran penolakan komuniti Cina terhadap Barisan Nasional dalam PRU ke 13?

"Sebenarnya meniup api perkauman dalam komuniti berbilang bangsa di negara ini lebih berbahaya dari ucapan bersemangat Adam Adli. Malangnya PDRM hanya nampak kesalahan Adam Adli, sedangkan ucapan bersifat rasis yang boleh mengundang berbalahan kaum yang diucapkan oleh pemimpin-pemimpin negara mereka tidak nampak," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Riduan juga mahu Ketua Polis Negera yang baharu Tan Sri Khalid Abu Bakar memastikan polis bertindak profesional dalam menangani masalah keselamatan negara.

Katanya, Khalid perlu mengembalikan kepercayaan rakyat dengan bertindak betul terhadap isu-isu politik negara dan tidak hanya mengikut telunjuk pemimpin politik sehingga melanggar etika serta integriti pasukan keselamatan negara.

"Jika PDRM merasakan itu suatu hasutan dan menjejaskan demokrasi berparlimen, ketahuilah ratusan ribu malah berjuta rakyat Malaysia juga menyatakan perkara yang sama.

"Menangkap seorang Adam Adli tidak akan menghentikan kemarahan rakyat terhadap ‘perlanggaran demokrasi’ oleh SPR. Tangkaplah Adam Adli hari ini, kerana esok akan bangkit ratusan ribu lagi Adam Adli," katanya.

No comments:

Post a Comment