Tuesday, May 21, 2013

Zahid perlu tunjuk berani berdebat – Guan Eng



Harakahdaily, 21 Mei 2013

KUALA LUMPUR: “Adakah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuktikan keberanian beliau untuk menyahut cabaran usul celaan pemimpin DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dengan mengadakan perdebatan parlimen sehari penuh?” tanya Lim Guan Eng.

Katanya, Lim Kit Siang telah mengumumkan akan mengemukakan usul celaan terhadap Ahmad Zahid kecuali sekiranya Menteri Dalam Negeri itu meminta maaf kerana meminta rakyat Malaysia yang tidak mahu menerima sistem pilihan raya sedia ada di Malaysia dan mahukan sistem yang lain untuk berhijrah ke negara lain.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, tidak ada makna bagi Ahmad Zahid menyatakan dia berani berdepan dengan DAP dan Pakatan Rakyat di Parlimen sekiranya masa yang diberi tidak mencukupi.

Baginya, Ahmad Zahid hanyalah bongkak dan berani di depan media BN dan kamera TV apabila mengugut wartawan Malaysiakini.

“Adakah beliau berani untuk berdebat secara terbuka dengan saya atau Lim Kit Siang atau pemimpin Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menunjukkan sama ada kenyataannya yang ekstremis dan memecahbelah itu bersifat demokratik dan sebahagian daripada rekonsiliasi nasional selepas pilihan raya umum? ” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, rakyat Malaysia mencatatkan jumlah keluar mengundi bersejarah sebanyak 80% dalam PRU13 demi melawan dan mengalahkan politik wang, ketakutan dan pembohongan.

Jelasnya, walaupun Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan undi popular sebanyak hampir 4% sehingga mencapai 51% berbanding hanya 47% di pihak BN tetapi BN masih menjadi kerajaan.

Menurutnya, margin kemenangan malah lebih besar di Semenanjung Malaysia dengan 53% mengundi Pakatan Rakyat berbanding 45% untuk BN.

“Pakatan Rakyat menang 55% undi popular di Perak, tetapi tetap tidak memenangi kerajaan,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya, Malaysia mempunyai kerajaan minoriti BN di Putrajaya, Perdana Menteri minoriti BN dan Menteri Besar minoriti BN di Perak.

Justeru, ujarnya rakyat ada hak untuk menyoal demokrasi jenis apa yang ada di Malaysia yang membenarkan kekuasaan minoriti ke atas majoriti.

No comments:

Post a Comment