Tuesday, May 21, 2013

Tipu PRU: IC diguna pengundi hantu, 8 mangsa lapor polis.



PETALING JAYA : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli membentangkan lapan salinan laporan polis oleh pengundi di lapan Parlimen seluruh negara yang tidak dapat mengundi pada pilihan raya umum 5 Mei lalu kerana kad pengenalan (IC) mereka diguna oleh pengundi hantu.
“Setakat 17 Mei 2013, lapan orang pengundi tampil dengan laporan polis yang dibuat kerana mereka dihalang dari membuang undi apabila orang lain telah mengundi menggunakan nama mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, bukti-bukti tersebut mengesahkan kewujudan kad-kad pengenalan palsu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk diberikan kepada individu tertentu bagi tujuan menjadi pengundi hantu.
“Perkara ini juga membayangkan keterlibatan dua badan yang bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan JPN,” katanya.
Lapan pengundi yang tampil dengan bukti tersebut termasuk Kamarulzaman Md Adnan dari Parlimen Sungai Petani, Mohd Khir Shaari dari Rembau, Mohd Razmi Khalid dari Kuala Selangor, dan Nor A’risah Ab Yamin dari Serdang.

Turut tampil sebagai saksi, Lee Hou Cyang dari Parlimen Serdang, Sairah Junoh dari Tumpat dan Mohamad Khairul Azhar Yang Ali dari Shah Alam.
Salah seorang saksi, Sairah Junoh dalam laporannya berkata: “Saya ke tempat pengundian DUN Pasir Pekan N03 dan buat semakan SPR. Pihak SPR dapati nama saya dikatakan telah pun mengundi sedangkan saya belum buat pengundian dan jari saya belum dicalit dakwat.”
“Semua saksi terlibat bukan saja di kawasan yang Pakatan kalah, tetapi semua tempat yang memang terdapat aduan berhubung isu ini.
“Kita akan pastikan keadilan kerana kehadiran pengundi hantu meruntuhkan keyakinan rakyat kepada integriti keputusan PRU 13,” kata Rafizi.
“Selain dari bukti-bukti yang ditunjukkan, kita juga akan membawa saksi-saksi terbabit untuk memberi keterangan,” katanya yang turut memberitahu akan membawa lagi bukti kepada rakyat selepas ini.
Dalam pada itu, Rafizi turut mencabar Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyatakan pendirian berhubung penyelewengan dalam pilihan raya.
“Saya mencabar Khairy yang baru dilantik ke Kabinet menjawab mengenai kewujudan pengundi hantu di Parlimen Rembau yang mungkin menyumbang kepada kemenangan beliau,” katanya.

No comments:

Post a Comment