• Beginilah keadaan Tuan Nur Batrisyia yang menghidap hydrocephalus.Beginilah keadaan Tuan Nur Batrisyia yang menghidap hydrocephalus.

KUALA NERUS – Penderitaan  Tuan Nur Batrisyia Tuan Nasir yang menanggung penyakit hydrocephalus yang mengakibatkan kepalanya membesar tiga kali ganda mendapat perhatian ramai setelah kisahnya mendapat liputan meluas pihak media.

Tuan Nur Batrisyia yang berusia enam bulan merupakan anak kepada pasangan Tuan Nasir Tuan Dalam, 30 dan Nor Suriati Mokhtar, 34, yang kini menetap di Kampung Duyong Wan Su, di sini.

Atas kesedaran itu juga, Kelab Kebajikan dan Rekreasi Pulau Duyong turut terpanggil untuk melancarkan Tabung Kecemasan Khas yang diadakan serentak dengan Majlis Hari Raya yang berlangsung di Dewan Sivik Pulau Duyong di sini, semalam.

Kutipan kilat yang dibuat dalam tempoh kira-kira tiga jam itu telah berjaya mengumpul sumbangan yang agak luar biasa dengan harapan mampu meringankan bebanan yang ditanggung keluarga kanak-kanak berkenaan.

Menurut pengerusinya, Azadi Abdullah, kerjasama dan sokongan yang diberikan semua ahli begitu membanggakan sebaik hasrat untuk mewujudkan derma kilat bagi membantu anak bongsu daripada dua beradik itu.

“Kita harap dengan sumbangan yang tidak seberapa ini dapat meringankan sedikit bebanan keluarga dan kita juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk tampil menderma untuk Tuan Nur Batrisyia.

“Selaras dengan penubuhan kelab yang bukan sahaja tertumpu pada aktiviti kesukanan, kita berharap program berbentuk kebajikan sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang, sekali gus menambahkan sikap prihatin dalam kalangan ahli,” katanya.

Sementara itu, Tuan Nasir mengakui terharu dengan sumbangan yang diberikan kelab berkenaan dan juga pihak lain yang telah menghulurkan bantuan kepada mereka sekeluarga sebelum ini.

“Saya hanya mampu ucapkan terima kasih dan syukur dengan bantuan yang diterima ini kerana sedikit sebanyak mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung khususnya membabitkan keperluan Tuan Nur Batrisyia.

“Malah, kami sekeluarga reda dengan nasib Batrisyia kerana kami sedar penyakit ini sukar diubati, namun sebagai ibu bapa kami akan jaganya sebaik mungkin,” katanya yang mengakui penyakit anaknya itu dikesan sejak dalam kandungan lagi.

Tuan Nasir yang bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM1,000 sebulan mengakui, separuh daripada gajinya digunakan untuk perubatan dan keperluan anak istimewanya itu.