Tuesday, August 19, 2014

Laluan Bukit Putus, Hasan Malek perlu bertindak


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Negeri Sembilan meminta Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek selaku wakil rakyat bertaraf menteri memanjangkan masalah kesesakan laluan Bukit Putus ke Parlimen.

Ketuanya, Nor Azman Mohamad berkata ini memandangkan bidang kuasa menaik taraf jalan itu di bawah pemantauan Kerajaan Persekutuan.

Beliau menyatakan demikian merujuk kepada tajuk utama Sinar Harian bertarikh hari ini "Sosak Sampai Bilo?" berhubung isu jalan raya utama Seremban-Kuala Pilah melalui Bukit Putus yang merupakan isu kebajikan rakyat dan ramai pengguna yang terlibat menggunakan laluan itu yang sewajarnya ia dipandang serius dan diambil tindakan.

Katanya, seperti yang sedia maklum, jalan baru Bukit Putus sejauh 6.9 kilometer dibuka secara rasmi pada 25 November 2009 dengan harapan dapat menyelesaikan masalah kesesakan di laluan lama Seremban-Kuala Pilah sejak 40 tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ia siap sempurna pada tahun tersebut, projek berharga RM109.5 juta dengan peruntukan khas Persekutuan itu yang terkenal dengan nama jolokan 'Laluan Sutera' ini juga pernah terbengkalai hampir dua dekad lamanya.

"Kami sedikit ragu dengan komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyelesaikan isu ini kerana kelewatan untuk menyiapkannya telah terbukti.

"Walaupun kita lihat pembukaan jalan raya baru secara rasionalnya dapat menjimatkan masa perjalanan dan menambahkan keselesaan tetapi sekarang yang berlaku sebaliknya," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, jumlah pertambahan kenderaan dari masa ke semasa merumitkan keadaan terutama pada waktu kemuncak cuti hujung minggu, cuti umum dan musim perayaan.

Oleh yang demikian, ujarnya menyedari bahawa isu ini berkait rapat dengan keselesaan pengguna dan kebajikan rakyat, pihaknya menegaskan agar pihak berwajib dapat mengambil inisiatif segera.

Di samping Ahli Parlimen Kuala Pilah itu, katanya Pemuda PAS negeri juga menyarankan agar pihak kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan mengambil maklum balas pengguna jalan itu dengan menyempurnakan fasa kedua pembinaan dan penyambungan laluan ini (bermula dari kaki Bukit Putus hingga ke Terachi) dan menyegerakan fasa berikutnya iaitu perlebaran jalan dari Terachi menuju ke Kuala Pilah sepertimana yang pernah dimaklumkan sewaktu perasmiannya dahulu.

Tambahnya, walaupun menyedari bahawa fasa ini sedikit sebanyak telah bermula, pihaknya mendesak agar ia dipercepatkan bagi mengelakkan kesesakan terus berlarutan.

"DPPNS yakin sekiranya ia dapat diselesaikan dengan baik, kita akan dapat menyaksikan kawasan bahagian timur Negeri Sembilan membangun dengan pesat dan memberi peluang kepada pelabur serta orang ramai berurusan di bahagian timur Negeri Sembilan khususnya di Kuala Pilah, Bahau dan Jempol kerana di kawasan berkenaan masih banyak lagi tanah yang belum dibangunkan," ujarnya lagi.

Tambahan pula, katanya jalan ini juga merupakan laluan penting untuk ke negeri Pantai Timur dan selatan Semenanjung seperti Pahang, Terengganu serta Johor. - HARAKAHDAILY 19/8/2014

No comments:

Post a Comment