Tuesday, August 19, 2014

Khalid tak perlu letak jawatan dulu



Shah Alam: PAS Selangor beranggapan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu meletakkan jawatannya sekarang kerana ia hanya akan menyusahkan rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata, walaupun Abdul Khalid sudah maklum yang beliau telah hilang kepercayaan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), namun tindakan meletakkan jawatan hanya akan memburukkan keadaan.

“Memang beliau (Abdul Khalid) telah hilang kepercayaan majoriti anggota DUN, namun beliau tidak seharusnya meletakkan jawatan dahulu.

“Apa-apa pun, semua pihak tunggu saja Tuanku Sultan balik untuk memberi keputusan muktamad,” katanya.

Sallehen yang juga Exco kerajaan negeri berkata, selagi Sultan Selangor masih belum memperkenan sebarang keputusan berhubung calon baru bagi jawatan menteri besar, Abdul Khalid adalah satu-satunya pemimpin yang layak mentadbir kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Sallehen turut berkata, penamaan Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor baru adalah berikutan rasa kurang selesa dengan calon Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, keputusan itu dibuat setelah mendapat maklumat daripada pihak istana yang tidak bersetuju dengan calon wanita untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

No comments:

Post a Comment