• Gambar HiasanGambar Hiasan

KUALA LUMPUR -  "Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa", apatah lagi bila selera makan melampau yang dilayan tanpa berfikir panjang akan kesan baik dan buruk.

Tabiat mengambil banyak makanan yang berkalori tinggi akan menjurus kepada obesiti sebelum ia menjadi pintu masuk kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit khususnya diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

Malaysia adalah negara yang tidak terlepas daripada masalah obesiti akibat perubahan gaya hidup masyarakat serta amalan pemakanan yang tidak sihat.

Pakar pemakanan menjelaskan obesiti sebagai suatu keadaan yang terjadi disebabkan oleh ketidakseimbangan antara pengambilan makanan (tenaga) dan penggunaan tenaga (aktiviti fizikal).

Isu obesiti bukan lagi suatu isu baru dan hakikatnya ia dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun sekaligus turut menjadi pembunuh utama bagi golongan yang mengalami masalah itu.  

OBESITI MASA KINI 

Cabaran dalam menangani masalah obesiti di Malaysia kini adalah dari segi mengubah corak pemakanan dan menjelaskan kepentingan gaya hidup aktif yang dapat membantu  mengatasi masalah itu dalam kalangan masyarakat.

Peringkat awal obesiti boleh berlaku ke atas kanak-kanak dari sekolah rendah lagi, yang mana pengambilan makanan tidak sihat diambil akibat daripada pihak pengusaha kantin yang  kurang menitikberatkan kepentingan pengambilan makanan berzat kepada pembesaran pelajar.

Sirap, minuman berkarbonat, nugget segera, keropok dan gula-gula adalah menjadi makanan rutin kepada setiap pelajar sekolah rendah terutama yang hanya makan di kantin sekolah tanpa membawa bekal makanan dari rumah.

Kesedaran seharusnya timbul dalam kalangan ibu bapa dalam melatih anak untuk mengamalkan pengambilan pemakanan sihat setiap hari seperti menyediakan air kosong, mengurangkan kandungan gula dalam minuman, menyajikan hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran serta melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam.

PENYEBAB OBESITI   

Ketidakseimbangan antara pengambilan tenaga dan penggunaan tenaga menyebabkan tenaga berlebihan yang disimpan bertukar menjadi lemak yang memudaratkan tubuh badan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr. Hamid Jan Jan Mohamed berkata dimensi umum kepada terjadinya  obesiti adalah dilihat hasil daripada pengambilan makanan berkalori tinggi seperti makanan segera dan minuman berkarbonat.

Berikutan corak kehidupan yang sibuk dan kesuntukan masa untuk menyediakan makanan menyebabkan rakyat Malaysia seperti mana rakyat di negara maju akan memilih makanan segera yang mengandungi kalori tinggi.  

"Strategi pemasaran kreatif adalah penyebab bagi pengguna terutama kanak-kanak dan remaja terpengaruh untuk membeli makanan segera", katanya.

"Lebih teruk, tabiat pengambilan makanan secara berlebihan menjadi budaya hidup kebanyakan orang dan garis panduan pemakanan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia diabaikan", jelasnya lagi.

Namun masalah berkenaan tidak berakhir di situ sahaja, kerana rata-rata masyarakat Malaysia kini mengamalkan cara hidup moden dan gaya hidup yang kurang aktif.
  
Bagi sesetengah pula beranggapan, "makan sahaja apa yang terasa hendak dimakan, esok lusa amalkan gaya hidup sihat semula, bukan salah pun".

Hakikatnya, sikap sedemikian hanya membawa padah kepada kesihatan dan kecergasan tubuh badan diri sendiri.

PEMAKANAN SIHAT

Paling utama, apa yang dimakan dalam setiap hidangan harian adalah penentu kesihatan bagi setiap individu yang berlainan.

Berbaloikah untuk merisikokan tubuh badan yang kita miliki cuma kerana ingin memuaskan nafsu makan yang tiada kesudahannya?

Persoalan ini wajar diteliti dengan berbalik kepada panduan anjuran tatacara pemakanan dan kesihatan menurut pandangan Islam, kata Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Norkumala Awang.
Lazimnya, elemen kesihatan fizikal, mental dan emosi, spiritual dan persekitaran sosial bersifat saling berkaitan antara satu sama lain sebagai sistem bersepadu yang menyumbang kepada kesihatan seseorang.

"Makan secara sederhana sebagaimana yang dianjurkan oleh agama, kerana perut kita ini ada hadnya, selain itu sifat sederhana dan tidak berlebihan dalam hal ehwal makan dapat mengelakkan datangnya gangguan kesihatan kepada tubuh badan," katanya pada Seminar Daripada Malnutrisi Kepada Obesiti: Menelusuri Tabiat Makan Umat Islam di Malaysia di sini, baru-baru ini.

Pemakanan sihat boleh diamalkan dengan mengambil pelbagai makanan dan seimbang dalam status pengambilannya di samping mementingkan unsur keberkatan dalam makanan  yang dimakan.

Kurang pengetahuan membuatkan ramai yang seringkali salah dalam mengurus kualiti dan kuantiti makanan yang diambil dalam seharian.

MAKANAN SUNNAH DAN KESIHATAN

Sikap peduli, prihatin dan ambil berat membawa seseorang kepada meneliti dengan lebih bagi setiap makanan yang diambil sebagai tenaga harian.
  
Makanan yang halal dan baik adalah diharuskan kerana ia sesuatu yang diperoleh kelazatan dan kebaikan darinya selain merangkumi keberkatan bagi dunia dan akhirat.
  
Pemakanan sunnah merujuk kepada makanan yang dikategorikan sebagai halal dan baik yang mana juga ditunjukkan galakan oleh Rasullulah S.A.W. untuk kita memakannya.

"Dalam soal makanan, apa yang penting dan mesti diingati adalah perintah al-Quran agar memastikan ia halal dan baik, kerana penentuan baik buruk makanan ini termasuk dalam bidang kajian ilmu nutrisi, yang kian berkembang pesat dan membawa faedah kepada manusia," jelas Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM Asham Ahmad. - Bernama