Tuesday, September 30, 2014

Arab Saudi buka dua pusat kawalan baharu


Jemaah haji yang datang tanpa dokumen yang sah bakal berdepan dengan tindakan tegas daripada kerajaan Arab Saudi. - REUTERS
MEKAH 29 Sept. - Jabatan Pasport Arab Saudi membuka dua pusat kawalan baharu dalam usaha memastikan pelaksanaan hukuman ke atas pesalah haji berjalan lancar tanpa sebarang penangguhan.
Laman web Arab News memetik Komander Tentera Haji, Mejar Jeneral, Ayad Loqman Al-Harbi sebagai berkata, dua pusat kawalan berkenaan dibuka di Taif dan Shamaisy bagi menangani masalah pesalah haji termasuk mereka yang melakukan penyeludupan jemaah tanpa izin.
"Kesemua mereka yang ditangkap oleh pasukan keselamatan akan dirujuk di dua pusat berkenaan bagi membolehkan hukuman dijalankan. Pusat ini akan beroperasi 24 jam," jelas Ayad.
Katanya, mana-mana pihak sama ada penduduk tempatan atau orang luar yang didapati bersalah menyeludup jemaah akan dikenakan denda sebanyak 10,000 riyal (RM8,722) bagi setiap jemaah yang dibawa masuk, selain didakwa di mahkamah.
Tambahnya, ekspatriat yang didapati bersalah melanggar peraturan haji akan dihantar pulang serta-merta dan diharamkan daripada menjejakkan kaki ke negara ini selama sekurang-kurangnya 10 tahun.
"Operasi ini akan melibatkan penggunaan sistem elektronik yang canggih di Jabatan Pasport bagi mencegah sebarang penyusupan ke Mekah," ujarnya.
Menurutnya, sehingga kini seramai 232 jemaah haji sama ada penduduk tempatan atau ekspatriat dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berjaya ditahan oleh Jabatan Pasport kerana memiliki permit haji palsu.
Katanya, setakat ini 21 penyeludup telah berjaya ditahan dan didenda sehingga 860,000 riyal (RM750,115).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140930/lu_02/Arab-Saudi-buka-dua-pusat-kawalan-baharu#ixzz3Ek34VwIF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment