Tuesday, September 30, 2014

Pencarian MH370 masuki fasa baharu


Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata, fasa terbaharu pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 pada bulan depan akan membabitkan dua kapal pakar iaitu Fugro Discovery dan GO Phoenix. - AFP
SYDNEY 29 Sept. - Usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di dasar Lautan Hindi, memasuki fasa baharu pada minggu ini selepas tujuh bulan kapal terbang penumpang itu hilang dengan penyertaan dua buah kapal pakar menyertai operasi mencari itu.
Pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing didapati hilang daripada radar pada 8 Mac lalu bersama 239 penumpang dan anak kapal, malah sehingga kini Boeing 777-200 itu masih gagal dikesan, walaupun usaha untuk mencarinya di udara dan laut dilakukan secara meluas.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata, fasa terbaharu itu yang akan bermula awal Oktober ini akan membabitkan dua kapal pakar iaitu Fugro Discovery dan GO Phoenix yang dilantik oleh Malaysia.
Jurucakapnya Peter Foley berkata, kedua-dua buah kapal itu mampu menghantar sistem sonar canggih kira-kira 5,000 meter di bawah paras laut bagi menjalankan usaha mencari menggunakan gelombang bunyi.
Katanya, sistem itu yang disambungkan ke kapal berkenaan oleh kabel tunda sehingga 10 kilometer panjang, diprogramkan untuk mengesan bahagian terbesar daripada pesawat terbabit yang dijangka masih belum berkecai, seperti enjin, peralatan untuk mendarat dan badan pesawat.
Sekiranya ada sesuatu yang tidak normal, kapal berkenaan akan kembali ke kawasan yang dicari itu dan mengemudikan alat pengesan berkenaan dengan lebih perlahan serta lebih dalam serta menggunakan kamera untuk melihat ke dasar laut, tambahnya.
Foley agak optimistik usaha pencarian di dasar laut itu akan berjaya, tetapi mengakui keadaan agak mencabar bagi pasukan mencari di lokasi terpencil dan belum pernah diterokai itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140930/lu_04/Pencarian-MH370-masuki-fasa-baharu#ixzz3Ek2vSvHD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment