Tuesday, September 30, 2014

Presiden baru angkat sumpah


Kabul: Ashraf Ghani Ahmadzai semalam mengangkat sumpah sebagai presiden baru Afghanistan menggantikan Hamid Karzai dalam pemindahan kuasa secara demokrasi di negara itu sejak kuasa Taliban dijatuhkan pada 2001.

Sejurus selepas mengangkat sumpah, lawannya dalam kempen pilihan raya, Abdullah Abdullah turut mengangkat sumpah sebagai ketua eksekutifnya seterusnya memenuhi janjinya yang dibuat dalam usaha mengurangkan tekanan yang hampir mencetuskan perbalahan antara bahagian utara serta selatan negara itu.


Perlantikan itu mengakhiri kempen pilihan raya hampir enam bulan yang bermula dengan pengundian yang diadakan April lalu.

Pilihanraya presiden antara Ashraf dan Abdullah meleret sehingga berminggu-minggu lamanya selepas kedua-dua pihak mendakwa berlaku penipuan.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemudian membantu melaksanakan pengiraan undi yang dianggap paling teliti dalam sejarah yang seterusnya melihat jumlah undian Ashraf berkurangan daripada 56 peratus kepada 55 peratus, namun tidak menjejaskan kemenangannya.


Pegawai Amerika Syarikat (AS) menjangka Ashraf akan menandatangani perjanjian keselamatan dengan Washington bagi membolehkan 10,000 tenteranya terus kekal di negara itu selepas misi antarabangsanya berakhir pada 31 Disember ini.

Sementara itu, dua letupan bom berlaku di jalan yang menghubungkan lapangan terbang utama Afghanistan dengan istana presiden.

Letupan pertama tidak mengakibatkan kecederaan, namun yang kedua kira-kira satu kilometer dari lapangan terbang dilakukan pengebom berani mati membunuh kira-kira tujuh orang, kata pegawai polis, Abdul Latif. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

No comments:

Post a Comment