Tuesday, September 30, 2014

Peperiksaan semula kertas UPSR bermula


MENTERI Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh meninjau sesi peperiksaan semula kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur, pagi ini. Peperiksaan semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris diadakan susulan kebocoran kertas subjek itu sebelum ini. - Foto Aizuddin Saad
KUALA LUMPUR: Peperiksaan ulangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi dua mata pelajaran yang bocor iaitu Sains dan Bahasa Inggeris berlangsung hari ini.
Kertas peperiksaan yang diulang semula itu ialah Sains 018, 028 dan 038 bermula 8.15 pagi dan Bahasa Inggeris 014/1 yang dijadual bermula 10.30 pagi dan Bahasa Inggeris 014/2 pada 12.20 tengah hari.
Tarikh baharu bagi ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036 dan 037 pula ditetapkan pada 9 Oktober.

MURID Sekolah Kebangsaan Bakri Batu 2, Muar mengaminkan doa sebelum menduduki peperiksaan ulangan kertas Sains bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pagi ini. Kertas Sains dan Bahasa Inggeris terpaksa diambil semula hari ini berikutan kebocoran soalan sebelum ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
Peperiksaan semula itu diadakan susulan kebocoran kertas peperiksaan UPSR awal membabitkan 472,853 murid yang mendudukinya di seluruh negara bermula 9 September lalu.
Semalam, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan selamat maju jaya kepada murid yang terbabit dengan UPSR.
SEORANG ibu mencium anaknya yang akan menduduki peperiksaan ulangan kertas Sains bagi UPSR di SK Komplek Uda, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, pagi ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin


Perdana Menteri turut memuji kesabaran ibu-bapa dan guru dalam menghadapi isu kebocoran soalan peperiksaan itu.
GURU Sekolah Kebangsaan Sungai Mas, Sungai Lembing, Nawawi Sarupin (kanan) dan Mohd Fadhil Omar mengambil inisiatif membawa calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke sekolah bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan, hari ini. - Foto Mustaffa Kamal
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment