Tuesday, September 30, 2014

"Saya masih ahli PAS... sampai ajal" - Saari Sungib



ADUN Hulu Klang, Saari Sungib.
KUALA LUMPUR: "Saya masih ahli PAS... sampai ajal." Itulah reaksi spontan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib ketika ditemui media selepas mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali, sebentar tadi.
Ketika diminta mengulas mengenai intipati perjumpaan itu, beliau enggan mengulas lanjut dan menjelaskan ia hanyalah pertemuan biasa.
Walaupun diasak dengan pelbagai soalan, beliau yang diiringi pembantunya mengelak untuk ditemubual dan terus memasuki kereta meninggalkan Pejabat Agung PAS di sini.
Saari yang tiba kira-kira jam 2.45 petang keluar dari pejabat berkenaan hampir dua jam selepas itu.
Bagaimanapun, ADUN Morib, Hasnul Baharuddin yang datang bersama Saari pada awalnya tidak kelihatan bersama.
Semalam, Setiausaha Agung parti itu mengesahkan dua ADUN yang didakwa membelakangi parti kerana menyokong pencalonan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor menemui pucuk pimpinan parti itu hari ini.
Ia dipercayai bertujuan menjelaskan tindakan yang diambil mereka termasuk menandatangani akuan bersumpah.

No comments:

Post a Comment