NASIB malang bagi pasukan Malaysia di kejohanan Sukan Asia ke-17 di sini apabila Majlis Olimpik Asia (OCA) menarik balik pingat emas pertama yang dimenangi menerusi atlet wushu wanita Tai Cheau Xuen kerana beliau didapati gagal ujian dadah.

Menurut kenyataan pihak penganjur, ujian sampel air kencing Cheau Xuen yang dilakukan pada 20 Sept selepas pertandingan mendapati ia mengandungi Sibutramine iaitu bahan terlarang dalam Senarai Larangan Agensi Anti Doping Sedunia (Wada) 2014.
  
Selepas dilakukan proses mengikut peraturan dan prosedur OCA, ditentukan bahawa hasil dapatan itu merupakan pelanggaran peraturan antidoping, katanya.
  
"Sehubungan itu sekatan telah dikenakan. Peserta dibatalkan daripada pertandingan selain kejohanan dan kelayakannya turut dibatalkan sementara pingatnya ditarik balik," kata OCA.
 
Menurut OCA, hasil penemuan itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa   negara peserta berkenaan, persekutuan antarabangsa sukan tersebut (Persekutuan Wushu Antarabangsa Asia) dan Wada untuk tindakan lanjut.
  
Katanya ini merupakan kes ketiga yang berlaku di kejohanan kali ini. - Bernama