Saturday, October 4, 2014

Keluarga pesakit Ebola AS dikuarantin di rumah



AFP - SUKARELAWAN Palang Merah menghantar selimut dan bekalan lain ke sebuah apartmen di mana seorang wanita dan keluarganya dikuarantin di Dallas, Texas.


DALLAS – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengkuarantin sebuah keluarga seorang lelaki yang dijangkiti virus Ebola di apartmen milik mereka di sini dengan kawalan ketat oleh pengawal bersenjata.
Wanita berkenaan, Louise Troh kelmarin berkata, dia tidak pernah terfikir perkara itu akan berlaku kepadanya kerana rantau Afrika Barat yang kini dilanda wabak demam Ebola terletak jauh dari AS.
“Saya bosan dikurung sebegini dan mahu pihak berkuasa persekutuan melakukan kerja-kerja nyah kuman di kediaman saya,” kata Troh.
Pihak berkuasa memberitahu, bilangan penduduk di AS yang mungkin terdedah kepada virus Ebola semakin meluas ekoran lelaki itu, Thomas Eric Duncan diarah pulang setelah mengunjungi sebuah hospital di Texas kerana demam.
Perintah pengasingan itu dilaksanakan selepas wanita itu dan keluarganya gagal mematuhi permintaan pihak berkuasa untuk berada di rumah, menurut Hakim Daerah Dallas, Clay Jenkins.
Pesuruh Jaya Kesihatan Negeri Texas, David Lakey berkata, perintah tersebut akan memastikan Tro, anak lelakinya yang berusia 13 tahun dan dua anak saudaranya dapat dipantau rapi jika terdapat tanda-tanda Ebola.
Lelaki tersebut merupakan kes jangkitan pertama Ebola di AS.
Ia mencetuskan kebimbangan sama ada wabak itu yang membunuh lebih 3,300 orang di Afrika Barat setakat ini mungkin menular di AS.
Keluarga tersebut akan dipindahkan untuk kerja membersihkan apartmen tersebut daripada kuman Ebola, kata jurucakap majlis bandar raya ini Richard Hill.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Texas menggandakan usaha untuk mengekang penularan virus tersebut dan setakat ini pihak berkuasa mengawasi sejumlah 100 orang yang mungkin berhubung secara langsung dengan Duncan atau orang yang rapat dengannya.
Sementara itu, seorang jurugambar bebas warganegara AS yang bekerja untuk agensi NBC News turut disahkan dijangkiti virus Ebola dan diterbangkan pulang untuk rawatan lanjut.
NBC enggan mendedahkan identiti jurugambar berusia 33 tahun itu yang sebelum ini bertugas membuat liputan mengenai wabak maut berkenaan di Liberia dan berada di negara tersebut sejak tiga tahun lalu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3F7btaZuH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment