Saturday, October 4, 2014

Menteri Kesihatan Taiwan letak jawatan berikutan skandal minyak tercemar



Chiu Wen-ta
TAIPEI: Menteri Kesihatan Taiwan, Chiu Wen-ta sah meletak jawatan susulan isu keselamatan makanan yang membelenggu negara itu selepas beratus-ratus tan produk yang dibuat daripada 'minyak talang' ditarik balik daripada pasaran.
Chiu berulang kali menawarkan diri untuk berundur selepas kes minyak tercemar itu timbul bulan lalu dan peletakan jawatan beliau akhirnya diluluskan oleh Perdana Menteri Jiang Yi-huah lewat petang semalam, demikian menurut kenyataan Kabinet.
Beliau adalah menteri ketiga meletakkan jawatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Chang Chia-juch meletak jawatan selepas insiden letupan gas pada Ogos lalu, manakala Menteri Pelajaran, Chiang Wei-ling berhenti pada Julai lalu selepas terbabit dalam skandal akademik.
Peletakan jawatan Chiu datang selepas pendakwa raya mendakwa pengerusi syarikat Chang Guann Co, Yeh Wen-hsiang terbabit dalam penipuan 235 akaun dan pelanggaran keselamatan makanan untuk menjual beratus tan 'minyak talang' kepada syarikat makanan, kedai roti dan restoran.
Tiga orang termasuk pengurus sebuah kilang yang tidak berlesen yang membekalkan produk kepada firma itu, didakwa kerana kesalahan yang sama manakala empat yang lain didakwa melanggar undang-undang pembuangan sampah, kata pendakwa.
Yeh ditahan sejak 13 September lalu selepas penyiasat mendapati syarikatnya membeli 243 tan minyak tercemar yang diperolehi daripada dapur, tempat menggoreng dan perangkap gris serta gris yang dikitar semula dari kilang pemprosesan kulit.
Lemak tercemar itu kemudian dicampur dengan lemak babi sebelum diedarkan kepada pelanggan.
Sejak bulan lalu, beratus tan kek, roti, mi segera, biskut, kuih dan barangan makanan lain ditarik balik daripada pasaran di Taiwan dan Hong Kong kerana mengandungi minyak yang tercemar, kata pihak berkuasa. - AFP
BH

No comments:

Post a Comment