Saturday, October 4, 2014

Susilo mahu kembalikan pilihan raya tempatan


SUSILO
JAKARTA 3 Okt. - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memperkenalkan rang undang-undang baharu untuk membatalkan rang undang-undang yang membubarkan pilihan raya tempatan yang diluluskan pada minggu lepas.
Portal berita Jakarta Post, hari ini melaporkan Susilo sebagai berkata, rang undang-undang itu perlu bagi melindungi 204 pilihan raya tempatan yang dijadual diadakan pada tahun depan.
Beliau turut menetapkan 10 penambahbaikan yang ingin dilaksanakan apabila rang undang-undang itu diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
“Saya berkongsi kekecewaan dengan lebih separuh daripada penduduk Indonesia berhubung kelulusan rang undang-undang pembubaran pilihan raya tempatan itu.
“Pilihan saya adalah menyokong pilihan raya diadakan. Saya dilantik sebagai Presiden pada 2004 dan 2009 melalui pilihan raya,’’ ujarnya.
Kebanyakan pihak ragu-ragu tindakan Susilo akan mengembalikan proses pilihan raya tempatan itu ketika DPR didominasi Perikatan Merah dan Putih yang menyokong mekanisme lantikan pemimpin kerajaan tempatan termasuk gabenor, datuk bandar dan wakil daerah.
Beberapa pihak termasuk enam aktivis dan empat kumpulan sivil turut memfailkan permohonan di Mahkamah Perlembagaan mencabar pembubaran pilihan raya tempatan tersebut.
Bekas calon pilihan raya tempatan dan Ketua Eksekutif Masyarakat Antirasuah Indonesia (MAKI), Boyamin merupakan antara individu yang memfailkan permohonan berkenaan.
Mereka menyatakan bahawa rang undang-undang itu melanggar prinsip pilihan raya bebas dan adil, selain prinsip kedaulatan seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 1 Perlembagaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141004/lu_05/Susilo-mahu-kembalikan-pilihan-raya-tempatan#ixzz3F7SqYIyW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment