Jurucakap tentera Amerika Syarikat (AS), Leftenan Kolonel Jeffrey Pool berkata, projek tambakan tanah secara besar-besaran di Terumbu Fiery Cross di Kepulauan Spratly itu adalah satu daripada projek yang sedang diusahakan China.
Pool mendakwa, sebuah pelabuhan juga sedang dibina di bahagian timur terumbu berkenaan yang dilihat cukup besar untuk menempatkan kapal tangki dan kapal perang.
“Kami menggesa China supaya menghentikan projek penambakan tanah itu dan terlibat dalam usaha diplomatik bagi menggalakkan semua pihak terlibat berhenti daripada melakukan aktiviti serupa,” kata Pool.
Dalam tempoh tiga bulan lalu, China menggunakan kapal korek bagi membina sebuah pulau kira-kira 2,743 meter panjang dan 300 meter lebar di lokasi sama, menurut laporan majalah IHS Jane’s Defence.
Kerja-kerja mengorek bertarikh antara 8 Ogos dan 14 November itu, dikesan menerusi gambar satelit yang diperolehi majalah tersebut.
“Penambakan tanah di Terumbu Fiery Cross adalah projek keempat seumpamanya dilakukan China di Kepulauan Spratly dalam tempoh 12-18 bulan lalu dan setakat ini adalah yang terbesar,’’ jelas laporan itu.
China telah pun membina pulau di Terumbu Johnson Reef, Terumbu Cuarteron dan Terumbu Gaven. – AFP