Sunday, November 23, 2014

Merokok punca sperma bermasalah


23 November 2014 3:35 PM
Merokok mengganggu pergerakan sperma... 

Merokok menyebabkan penghasilan sperma berbentuk tidak normal akibat tindakbalas ‘free radicals’ daripada kimia rokok. -Gambar hiasan

Saya dan isteri berusia 28 tahun dan kami berkahwin hampir dua tahun. Sehingga kini isteri belum hamil. Baru-baru ini saya melakukan ujian air mani di hospital swasta. Keputusan menunjukkan saya menghadapi masalah kurang kuantiti sperma dan tiada sperma aktif. Jumlah sperma yang diukur cuma 13 juta/ml, malah sperma aktif hanya 20 peratus. Bolehkah masalah saya diubati kerana kami mahu cahaya mata dan latar belakang keluarga tiada masalah. Saya juga kuat merokok. Saya merokok sekitar 20 batang sehari. Disebabkan kekangan kerja, saya juga jarang bersenam. Hampir dua atau tiga bulan sekali baru saya bersenam.
Suami Sedih, Kuala Lumpur
Jawapan
Anda menjalani ujian air mani dan mendapati bilangan dan kualiti sperma merosot. Kemungkinan juga peratusan sperma anda tidak berbentuk normal. Mungkin doktor memeriksa buah zakar anda untuk meneliti jika isi padu kedua-duanya normal dan pembuluh darah zakar normal tanpa perubahan berpintal atau varikosel. Anda mungkin tahu kedudukan buah zakar dalam kerandut dan bukannya berada di luar badan. Jika anda memakai seluar dalam ketat atau tebal, suhu dalam kerandut zakar menjadi tinggi dan ini menjejaskan proses pembiakan sperma dalam kilang sperma.
Begitu juga jika berat badan tinggi atau anda banyak melakukan kerja dalam keadaan duduk kerana ia membuatkan buah zakar terperap dalam ‘lemak’ seolah-olah macam dalam ‘ketuhar’ yang secara langsung meningkatkan suhu kerandut buah zakar dan menjejaskan pengilangan sperma.
Amalan merokok boleh menjadi sebab utama sperma bermasalah. Merokok membuatkan anda menghidu bahan toksik yang merosakkan sistem reproduksi dan kesuburan tanpa anda sedari. Merokok mengancam kesuburan lelaki secara meluas. Mungkin maklumat ini dapat membuka minda dan mendorong anda berhenti merokok.
Mengikut kajian pakar infertiliti, merokok merosakkan sperma secara terus apabila air mani tercemar dengan bahan toksik yang menyebabkan kerosakan kepada protein dan nutrien dalam air mani. Merokok juga menyebabkan penyumbatan pada salur darah buah zakar yang dapat mengurangkan kualiti dan kuantiti sperma yang dihasilkan. Proses kerosakan sperma meningkat ketara apabila amalan merokok berpanjangan. Semakin lama anda merokok, lagi bermasalah kualiti sperma anda.
Merokok mengurangkan bilangan sperma kerana bahan kimia mencegah penyerapan vitamin dan mineral dalam air mani seperti kekurangan vitamin B12, vitamin E dan zakat galian zinc. Merokok merendahkan tahap hormon kesuburan yang diperlukan untuk pembiakan sperma dalam kilang. Kadar peratusan bilangan sperma boleh merosot daripada beratus-ratus juta kepada satu angka jika keadaan serius.
Merokok juga mengganggu pergerakan sperma iaitu keupayaan ia bergerak secara ke depan memasuki rahim dan salur telur untuk percantuman. Sperma perlu bergerak laju dan sehala supaya dapat bergerak dalam kelajuan baik dan mudah sampai ke destinasi. Bilangan sperma yang sampai tidak cukup untuk berinteraksi dengan telur bagi memudahkan penetrasi satu sperma ke dalam telur.
Merokok menyebabkan penghasilan sperma berbentuk tidak normal akibat tindak balas free radicals daripada kimia rokok. Sperma yang berbentuk tidak normal tak akan dapat bergerak serta bercantum dengan telur.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/komuniti/merokok-punca-sperma-bermasalah-1.28230#sthash.USHpWzbK.dpuf

No comments:

Post a Comment