Jika hanya suami yang bekerja makan gaji, hidup keluarga di ibu kota seperti Kuala Lumpur ini hanya cukup-cukup makan. Laporan Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2014 menyatakan, sebanyak dua juta atau 28.7 peratus daripada tujuh juta isi rumah di negara ini masih dikategorikan sebagai miskin bandar dengan pendapatan di bawah paras RM3,000 sebulan.
Memang bukan senang mahu senang, tetapi tidak susah mahu susah. Dalam berhadapan dengan situasi sedemikian, golongan bapa sebagai ketua keluarga jangan mudah putus asa. Jangan mudah tergadai iman dengan melakukan perbuatan yang dilarang oleh Islam terutama makan rasuah dalam usaha keluar daripada ujian tersebut.
Kebanyakan kita faham benar tentang hukum terlibat rasuah itu haram dan berdosa besar. Balasannya pula adalah neraka. Ia sebagai mana sabda Rasulul­lah SAW yang bermaksud: “Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka”. (Riwayat at-Tirmizi)
Malangnya, ada da­lam kalangan kita yang tewas dengan pujuk rayu syaitan sehingga tidak dapat membezakan rezeki yang halal dan haram. Apa yang pasti, golong­an yang memegang kuasa atau berkuasa lebih terdedah kepada ujian dan cabaran ini.
Sememangnya ra­suah adalah pun­ca kepada banyak kerosakan dan ketidakadilan. Rasuah adalah tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan mendapat pertolo­ngan dan faedah ke­pada dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.
Allah SWT juga melarang perbuatan sedemikian melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu menge­tahuinya. (al-Baqarah: 188)
Akibat rasuah, kegiatan jenayah termasuk penyeludupan barang, bahan api seperti petrol dan diesel bersubsidi bagaikan sukar dibendung. Demikian juga kegiatan penceroboh­an dan penerokaan hutan sesuka hati sebagaimana dilaporkan akhbar ini sejak sebulan lalu.
Ada yang berhujah sukar membezakan rasuah dengan hadiah. Hakikatnya, individu terlibatlah yang boleh menjawabnya. Al-Imam al-Mawardi merumuskan “rasuah adalah apa yang diberikan kerana menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbang tanpa sebarang balasan”.