Ahmad Zahid Hamidi
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Ke­selamatan Awam China berjaya membanteras perjudian haram termasuk menyekat pelayan (server) aktiviti judi dalam talian dan kejayaan itu wajar dipelajari Malaysia.
“Server untuk aktiviti perjudian haram tidak terletak di Malaysia atau China tetapi di beberapa negara lain yang sukar disekat, namun kerajaan China telah menggunakan kaedah tertentu untuk melakukan sekatan.
“Malaysia mahu belajar ka­edah yang digunakan dan kita juga boleh bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat aktiviti judi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan ke tapak Karnival 60 Tahun Lembaga Penapis Filem di pusat beli-belah Alamanda di sini hari ini.
Karnival selama dua hari bermula hari ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan lembaga tersebut dalam industri perfileman.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, usaha membanteras aktiviti judi haram merupakan salah satu bidang kerjasama yang dikenal pasti antara KDN dengan Kementerian Keselamatan Awam China sempena lawatan beliau ke negara tersebut baru-baru ini.
Beliau berkata, Malaysia turut berbincang dengan China mengenai kepolisan moden termasuk usaha pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi di kawasan tumpuan jenayah.
Menurutnya lagi, Kuala Lumpur pada masa yang sama sedia belajar daripada Beijing mengenai pengalaman mereka membanteras rasuah dan aktiviti pelacuran.
“China berjaya mengurangkan masalah pelacuran yang berlaku melalui penguatkuasaan, namun keadaan itu menyebabkan pelacur dari negara itu beralih ke negara lain terma­suk Malaysia.
“Pelacur-pelacur ini menggunakan visa pelancong atau visa pelajar untuk memasuki Malaysia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan perlu melakukan perbincangan terperinci mengenai isu penerbitan terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu atau bahasa lain tanpa disertakan ayat suci al-Quran.
Menurutnya, penerbitan semua al-Quran termasuk terjemahan penuh perlu mendapat kelulusan percetakan daripada KDN.