KOTA BHARU - Selain kepuasan, penderma darah ke 390 kali, Nik Ghazali Nik Abu Bakar, 57, akui dirinya bertambah sihat malah tidak pernah demam apatah lagi berdepan sakit teruk.

Menurutnya, pengalaman itu dirasai setiap kali dia menderma biarpun sebelum ini pelbagai tanggapan negatif didengari sehingga ada kalanya melemahkan semangat mereka yang berhasrat untuk melakukannya.

“Saya tidak kaya dan berharta untuk menyumbangkan wang ringgit, hanya sumbangan darah mampu diberikan agar dapat dimanfaatkan mereka yang memerlukan, saya menderma kerana bersimpati tanpa mengambil kira agama dan bangsa.

“Biarpun belum pernah berdepan situasi itu (terdesak memerlukan darah), ia kepuasan yang tidak boleh dibeli, saya puas apabila dapat menderma, dan kalau boleh ingin selalu menderma,” katanya kepada Sinar Harian.

Bapa lima anak ini berkata, dia mengamalkan meminum sekurang-kurangnya tiga liter air kosong sehari bagi memastikan dia dapat menderma setiap dua minggu sekali dan membantu mengisi tabung darah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

Seorang lagi menderma, Lee Hok Cheng, 51, berkata, sejak mula menderma pada usia 23 tahun sehingga semalam, dia sudah menderma kira-kira 100 kali dan akan terus menderma selagi berupaya berbuat demikian.

Menurutnya, walaupun pada awalnya mendapat tentang hebat ibunya, namun sikap ingin membantu yang sudah begitu sebati dengan dirinya menyebabkan dia terus menderma sehingga kini.

“Saya puas dapat tolong orang, walaupun dalam bentuk darah, tetapi saya yakin ia begitu diperlukan,” katanya yang turut giat merancang menjayakan program dan kempen derma darah bagi membantu mengisi tabung darah di HUSM dan HRPZ II.

Hok Cheng turut mengakui kesihatannya bertambah baik setiap kali menderma sebaliknya akan merasa tidak selesa disebabkan demam dan selesema sekiranya tidak menderma dalam waktu- waktu tertentu.