Friday, June 5, 2015

Polis Tidak Melebihi Undang-Undang - KPN


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 7:15 PM
Tan Sri Khalid Abu Bakar

PETALING JAYA: Polis tidak pernah menganggap diri mereka melebihi undang-undang, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara berkata, polis hanya sekadar penguatkuasa undang-undang, tetapi tertakluk kepada undang-undang yang sama.

"Kita tidak menafikan kewujudan segelintir kambing hitam yang melanggar undang-undang.

"Tetapi mereka hanya membentuk sebahagian kecil daripada pasukan polis. Ia tidak boleh dilabelkan mewakili institusi," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Beliau mengulas ucapan yang dibuat oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, pada forum awam bertajuk "Rogue Cops: Workable Solutions - Police Accountability In Malaysia", minggu lepas.

Mohamed Dzaiddin berkata sikap pasukan polis yang tidak mengambil peduli konsep kedaulatan undang-undang merupakan antara sebab kematian dalam tahanan.

Khalid berkata  tidak semua dakwaan bekas ketua hakim negara itu adalah betul.

"Kita mahu Tun dan mereka yang berfikiran seperti itu mengetahui modul latihan kami menyediakan pemahaman asas dan dasar mengenai hak asasi sepertimana mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau juga menafikan kematian tahanan seperti didakwa bekas ketua hakim negara itu dengan menyatakan dari tempoh 2010 hingga 2014, kesemua 51 kes kematian menjalani siasatan.

"Ketika ada sesetengah pegawai polis yang menyalah gunakan kuasa mereka, majoritinya terdiri daripada polis yang baik.

"Bagi setiap anggota melakukan kesalahan dan melanggar kepercayaan rakyat awam namun ramai lagi tidak terkira bilangannya mengikuti undang-undang serta tidak meminta apa-apa selain melindungi, berkhidmat serta pulang dengan selamat apabila mengakhiri tugas mereka.

"Masih terdapat ramai pegawai polis yang baik di luar sana dan sanggup mengorbankan nyawa mereka untuk negara," katanya.

No comments:

Post a Comment