KUALA SELANGOR - Perwakilan Pas dari Sekijang, Shazni Munir Mohd Ithnin menggesa agar semua pimpinan yang tewas dalam pemilihan Pas kali ini sedar diri serta tidak menerima sebarang lantikan untuk menyertai kabinet pimpinan parti itu.

Menurutnya, gesaan itu penting supaya Abdul Hadi tidak lagi diganggu dalam membuat sebarang keputusan.

"Sebagai seorang yang berjiwa besar, kita yakin Tuan Guru Presiden akan melantik semula pasukan yang kalah untuk duduk dalam kabinet pimpinan selepas muktamar ini. Namun demikian, kita benar-benar mengharapkan agar pimpinan-pimpinan yang telah kalah ini 'sedar diri' dan tidak menerima pelantikan tersebut.

"Gesaan ini penting supaya Tuan Guru Presiden tidak lagi diganggu-gugat untuk membuat keputusan-keputusan besar dan penting selepas ini," katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemenangan geng ulama yang bersama-sama Abdul Hadi bukti perwakilan menolak perbezaan pandangan yang berlaku dalam parti itu.

"Kemenangan besar pasukan yang bersama-sama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membuktikan bahawa majoriti perwakilan 'tidak selesa' dengan stail perbezaan pandangan yang diamalkan Pas selama ini.

"Jelas lagi bersuluh bahawa majoriti perwakilan mahu kesemua pimpinan memberikan ketaatan sepenuhnya kepada Presiden parti tanpa mengatakan 'tidak' samada dalam hal pentadbiran dalaman mahupun politik," katanya.

Semalam, Abdul Hadi mengekalkan jawatannya dengan 928 undi menewaskan pencabarnya, Ahmad Awang yang hanya mendapat 233 undi.

Beliau yakin bahawa pemimpin yang menang itu akan mampu mentadbir Pas tanpa penglibatan barisan pimpinan yang tewas.

"Kita yakin dan percaya tokoh-tokoh yang menang ini mampu memimpin Pas tanpa keterlibatan pasukan yang kalah serta sering disinonimkan sebagai 'bermasalah'.

"Pasukan yang kalah ini sebaliknya harus bermuhasabah diri berhubung tindakan-tindakan mereka yang sering berlagak pandai mempersoal langkah politik yang diambil presiden," katanya.