SHAH ALAM – PKR menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) supaya menyiasat serta membongkar ‘kehilangan’ dana RM42 bilion yang dilaburkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan perbelanjaan syarikat pelaburan nasional itu di Kepulauan Cayman masih menjadi misteri.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli mendakwa separuh daripada RM42 bilion itu telah dibelanjakan bagi tujaun yang diragui dan dikhuatiri bertentangan dengan kelulusan awal Bank Negara Malaysia.

“Saya menyeru supaya Bank Negara Malaysia menyiasat sehinggalah satu laporan dapat dibentangkan di Parlimen untuk menyenaraikan semua perbelanjaan secara terperinci yang melibatkan hutang RM42 bilion itu.

“Sejumlah RM15.4 bilion dalam syarikat-syarikat yang tidak dapat dipastikan aktiviti perniagaan atau asetnya iaitu Brazen Sky, Aabar dan 1MDB GIL mengesahkan bahawa 1MDB tidak boleh menerangkan ke mana RM15.4 bilion ini telah dibelanjakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu program khas bual bicara Dialog di TV1 semalam yang menafikan kehilangan dana RM42 bilion yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Ahmad Husni berkata, kerajaan sentiasa bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan ekonomi negara dan 1MDB pula adalah milik Kementerian Kewangan malah segala pelaburannya dijamin oleh kerajaan dalam apa jua keadaan.

Mengulas lanjut, Rafizi selaku Naib Presiden PKR juga mendakwa 1MDB boleh didakwa jika dana yang dipinjam dan dilabur oleh syarikat itu digunakan bagi tujuan yang berlainan dari kelulusan awal yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia.

“Sebenarnya, pengumuman 1MDB itu mengesahkan kekhuatiran rakyat selama ini bahawa dana 1MDB yang dipinjam tidak dapat dipadankan dengan aset yang nyata; lalu timbul persoalan ke mana sebahagian besar dana ini telah dibelanjakan?” soalnya lagi.