Sunday, May 30, 2010

DAP kuasai pembangkang





KUALA LUMPUR 29 Mei - Gimik politik terbaru Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji melantik Timbalan Perdana Menteri II di kalangan pemimpin DAP membuktikan parti yang dianggotai majoriti kaum Cina itu telah menguasai pakatan pembangkang.
Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berkata, DAP boleh disifatkan sebagai 'parti yang teragung sekali' dalam pakatan itu kerana boleh mempengaruhi Anwar untuk membuat keputusan terbabit tanpa diadakan perbincangan dengan parti-parti pembangkang lain.
''Saya cukup terkejut dengan apa yang disebut oleh Anwar kerana beliau menyatakan perkara ini tanpa terlebih dahulu mengadakan mesyuarat bersama-sama pemimpin parti yang menganggotai pakatan pembangkang.
''Ketua Pembangkang nampaknya tidak mengamalkan konsep sama rata seperti yang dilaung-laungnya dengan mengambil sikap untuk menganaktirikan Pas," katanya ketika dihubungiMingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas gimik Anwar dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang disiarkan Rabu lalu apabila berjanji akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Menurut Choo Keong, sikap Anwar yang sibuk membincangkan isu itu jelas membuktikan bahawa beliau hanya memikirkan tentang jawatan dan tidak mengutamakan rakyat.
Dalam pada itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Noor pula menyifatkan janji Ketua Pembangkang itu sebagai tidak munasabah dan bertentangan dengan kontrak sosial yang disepakati semua kaum ketika mencapai kemerdekaan.
Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh Penasihat PKR itu adalah tindakan terdesak semata-mata bagi meraih sokongan bukan Melayu.
''Anwar membuat pelbagai janji yang beliau sendiri tahu tidak akan ditunaikan kerana sedar bahawa pakatan pembangkang tidak akan mampu membentuk kerajaan di peringkat Pusat," katanya.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan berkata, adalah jelas Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu sudah terdesak, malah beliau tidak terkejut jika Anwar menjadi Perdana Menteri akan wujud 10 jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Tambahnya, orang seperti Anwar sanggup berbuat dan cakap apa sahaja bagi memastikan impiannya boleh tercapai, seperti janji terbaru yang merupakan satu lagi helah beliau untuk terus mendapatkan sokongan pengundi Cina.

No comments:

Post a Comment